Cerita Kedai Kopi Archives

Cantas

Oleh: Zulkifli Abu

Agaknya kerana ada nama, aku tidak perlu lobi-melobi malah dijemput pula `balik’ ke kampung untuk dicalonkan sebagai Setiausaha Pemuda Cawangan dan pada masa yang sama sebagai Ketua Penerangan Cawangan. “Orang berkebolehan macam kau patut tabur bakti di kampung kelahiran. Kau dikenal orang.” Begitulah antara hujah mereka.

Benar kata mereka. Aku tidak melalui jalan sukar untuk menjawat kedua-dua jawatan itu malah pada tahun yang sama aku turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa Biro Penerangan Bahagian.

Bagaimanapun sebagaimana biasanya, sifat terus-terang aku sering mendatangkan masalah bukan sahaja kepada tetamu yang diundang dalam mesyuarat-mesyuarat parti tetapi di kalangan ahli jawatankuasa sendiri. “Mulut kau tu celupar sangat,” pernah aku diberitahu begitu.

Ada alasan juga rakan-rakanku menegur begitu. Biasanya aku tidak mengira sangat pemimpin yang datang ke mesyuarat cawangan. Kalau hal itu membabitkan kepentingan ramai, aku tidak ragu-ragu menyebut hal ini walaupun ia boleh menyebabkan pemimpin yang datang itu tidak merasa selesa. Kalau aku fikir pendirianku itu boleh menyusahkan cawangan, biasanya aku menyebut `menurut pandangan peribadi saya’ walaupun ketika berdiri itu aku ialah Setiausaha Pemuda atau Ketua Penerangan Cawangan. Aku tidak kisah kalau dituduh tidak tahu protokol.

Walau apapun tahun itu aku dipilih juga mewakili cawangan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Mesyuarat tahun itu memang hebat. Ketua Bahagian yang telah lama memegang jawatan itu buat pertama kalinya akan dicabar. Memang hebat permainan politik ketika itu.

Pada hari yang dinantikan, aku turut berpeluang bercakap. Aku tidak bercakap mengenai isu lain. Hanya isu pemilihan Ketua Bahagian.

“Kalau kita sendiri mengaku kita pemimpin, mengapa kita tidak dapat menyelesaikan masalah pemilihan Ketua Bahagian sendiri. Dalam perebutan ini hanya dua orang yang terlibat tetapi mengapa kita yang di bawah ini diheret sama?” Ternyata kata-kata itu mendapat tepukan gemuruh.

Mengikut catatan pengalaman, itulah kali pertama dan terakhir aku dapat mewakili cawangan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian.

Isteri Orang Nombor Satu

Oleh: Zulkifli Abu

Petang itu setiausaha orang nombor satu singgah di rumah lagi. “Datin beri,” katanya pendek sambil tangannya menghulur beberapa keping wang RM50.00

“Untuk apa?,” tanyaku pendek dalam kehairanan.

“Dia kata bayaran untuk kad jemputan yang kau buat,” jawabnya selamba.

“Dia dah bayar melalui cek, invois yang aku hantar.”

“Entah! Datin cakap dia cukup puas hati dengan kad itu. Cantik katanya,”

“Aaah! Tak hendaklah,” kataku sambil memulangkan kembali wang itu.

“Kata pada Datin, terima kasih.” Masih dalam nada bersahaja.

Setiausaha orang nombor satu akur lalu bercerita mengenai hal-hal biasa yang sering kami perkatakan. Cerita mengenai rakan media. Cerita mengenai politik pejabat.

Petang keesokan harinya, setiausaha orang nombor satu singgah lagi di rumah. Tangannya menjenjeng beg plastik.

“Datin terima kembali duit yang kaupulangkan. Tapi dia harap yang ini kau tidak pulangkan,” katanya sambil menghulurkan beg plastik itu.

Aku terus membukanya dan terlihat lipatan kemas kain songket berbunga penuh.

“Ini mahal ni,”kataku kaget.

Setiausaha orang nombor satu tersenyum dan terus menukar cerita lain.

Seingat-ingat aku itu adalah kain songket kedua milikku. Songket pertama emak hadiahkan sewaktu aku kahwin dulu.  Memikirkan pemberian itu ikhlas, aku tidak dapat berbuat apa-apa lagi, selain menerimanya dengan penuh kesyukuran.

Sejak mendapat songket baru itu, itulah songket rasmiku sama ada dipakai setiap Hari Raya atau menyertai majlis-majlis rasmi.

Bertahun-tahun aku memakainya sehingga melupakan songket pemberian emak.

Pada suatu majlis rasmi di rumah orang nombor satu, aku sempat bergurau dengannya mengenai songket yang aku pakai.

“Untuk pengetahuan Datuk, songket yang saya pakai ni Datin yang beri,” sengaja aku kuatkan percakapan itu supaya didengar oleh isterinya yang berada di sebelah.

“Itu tanda nak songket barulah tu,” celah isteri orang nombor satu dalam nada gurauan.

Gelek Nombor Satu

Oleh: Zulkifli Abu

Walaupun persembahan hanya dapat dimulakan pada kira-kira jam 9.45 malam kerana hujan lebat, penonton tetap tidak lari. Selain berada di kaki lima sekolah, kesemua bilik darjah dibuka pada malam itu bagi membolehkan penonton `Malam Gelek Bersama M. Daud Kilau’, berteduh.

M. Daud Kilau hanya dibawa ke pentas khas dengan keretaku setelah hujan berhenti. Sejak tiba kira-kira jam 4.00 petang tadi, Daud yang datang bersama rakan promoterku, Ghafar Nin, berehat sahaja di bilikku – kuarters sekolah yang hanya terletak beberapa meter dari pintu masuk sekolah.

Dalam keadaan padang lecah, penonton masih berkesempatan untuk bertepuk dan memekik setiap kali penyanyi pujaan mereka menghabiskan lagunya. Antara lagu awal yang disampaikan M. Daud Kilau ialah lagu Kaki Judi, ………… Bagaimanapun lagu yang ditunggu pastinya lagu ` ………..’ yang menjuarai carta Lagu Pujaan Minggu ini.

Dengan pakaian berkilatnya, Daud ternyata mampu memukau penonton hingga setengah histeria. Gelek punggungnya benar-benar bergerudi. Gelek Daud itulah yang membolehkannya mendapat undangan di sana-sini di samping suara lunak dan cara berpakaiannya.

Bagi membolehkan Daud berehat seketika, kami pihak penganjur turut mengundang Maria Kamal, penyanyi wanita yang agak popular juga ketika itu. Maria bolehlah disifatkan sebagai penyendal waktu.

Selepas Maria menyampaikan tiga buah lagu, Daud mengambil alih semula tempatnya. Sambil meneriakkan `Ahaaai!’ dari belakang pentas, Daud terus bergelek serancak-rancaknya.

Lagu `Anak Dagang?’ benar-benar boleh membayar harga tiket dan baju lembab kerana terkena hujan. Daud terus bergelek dan terus bergelek.

Selepas tamat persembahan, Daud dikerumuni oleh penonton sebelum masuk ke keretaku. Simpati juga aku melihat beliau terpaksa melayan peminat untuk bergambar dan menandatangani autograf.

Sampai di ruang tamu rumahku, Daud terus tersandar di kerusi rotanku. Terdengar beberapa kali dia mengerang keletihan.

Setelah rehat beberapa minit dan bercerita mengenai pertunjukan malam itu, Daud meminta kebenaranku untuk berbaring di katilku. Pada malam itu aku terpaksa pula menjadi tukang urutnya.

Penyanyi Nombor Satu

Oleh: Zulkifli Abu

Cikgu Awang Chik Bidin, guru besarku kelihatan cukup ceria sewaktu singgah di mejaku pada awal pagi itu. “Saya dah fikir masak-masak. Kita kena buat juga Malam Gelek Bersama Daud Kilau tu,” katanya mengingatkan aku kepada salah satu agenda Mesyuarat Jawatankuasa PIBG petang esok.

Sebagai Setiausaha PIBG dan Guru Penolong Kanan, Cikgu Awang Chik memang mengharapkan sokongan aku untuk menjayakan malam yang diharapkan dapat mengumpul dana untuk faedah anak-anak peneroka Felda di sekolah kami.

Dalam mesyuarat sebelum ini, secara lembut aku membantah cadangan yang dikemukakan oleh Cikgu Awang Chik yang bertaraf ex-officio dalam PIBG. Aku bukan tidak bersetuju dengan matlamat murninya. Cuma aku tidak bersetuju pendekatannya. Adakah untuk beramal perlu panggil penyanyi sahaja? Mengapa sanggup buang masa tiga empat kali mesyuarat, ditambah `paksa’ orang kampung keluar duit semata-mata nak cari duit? Mengapa duit yang mungkin akan digunakan untuk membeli tiket pertunjukan pentas itu digunakan terus untuk mengisi Tabung PIBG? Bukankah pendekatan ini lebih praktikal?

“Dalam bekerja ni kita tak boleh agresif sangat. Saya tahu Zul masih muda,” Cikgu Awang Chik seolah-olah mengingatkan usia sebenarku yang cuma masih 21 tahun tapi telah mendapat tanggungjawab sebagai orang nombor dua sekolah.

Akhirnya pada mesyuarat itu, cadanganku ditolak. Aku akur dengan keputusan kolektif. Malam Gelek Bersama M. Daud Kilau akan tetap diadakan dua bulan lagi.

Sejak itu segala jentera digerakkan. Aura Cikgu Awang Chik Bidin memang hebat. Setiap golongan di Felda Jengka 4 dapat dimotivasi untuk mengisi Tabung PIBG.

Paling ketara di kalangan ahli jawatankuasa sendiri; Usop Jepun, Husin Gemuk (sekadar menyebut beberapa nama) tidak menang tangan menggerakkan jawatankuasa kecil masing-masing.

Usop Jepun yang mengetuai Jawatankuasa Kecil Persiapan Pentas telah menyediakan perancangan telitinya. Husin Gemuk, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan berjanji akan memastikan penonton tidak akan berpeluang masuk free. Setiap sudut strategik akan ditempatkan pengawal bagi memastikan pagar sekolah tidak akan dipanjat atau digunting penonton.

Aku pula mengetuai Jawatankuasa Publisiti. Selain poster kertas mahjong yang ditampal merata tempat lebih awal, dua tiga hari sebelum persembahan sebenar, aku berserta beberapa ahli jawatankuasa berpusing ke hamper semua petempatan di Gugusan Jengka, Felda Ulu Jempol dan sekitarnya. Kami menyewa lori kecil sambil melaung dengan pembesar suara, “Bergeleklah dengan M. Daud Kilau di padang Sekolah Kebangsaan Jengka 4!”

Senja hari persembahan sebenar (waktu maghrib pun tidak masuk lagi), padang sekolah mula diserbu.

“Biar roboh pagar sekolah dengan serbuan penonton. Tabung PIBG mesti penuh,” kata Husin Gemuk sambil tersenyum megah. Misai tebalnya bagaikan kelihatan bergoyang.

Memang benar. Pagar sekolah roboh malam itu. Pagar itu tidak dapat menahan rempuhan pengunjung yang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri di bangunan sekolah berikutan hujan lebat yang turun secara tiba-tiba. Tiket tidak dapat dijual langsung selepas itu.

Sewaktu mesyuarat post-mortem beberapa minggu kemudian, akaun projek ditutup. Setelah ditolak segala belanja, tentu tidak termasuk kos tenaga, PIBG untuk bersih RM2.45!

Thailand menggamitku

Oleh: Zulkifli Abu

Tahun 1976. Itu pertama kali aku menjejak kaki ke negara Gajah Putih, Thailand. Sebelum itu memang selalu aku dengar cerita pasal orang Siam. Cerita streotaip yang diceritakan orang muda.

Bagaimanapun pemergianku ke Thailand tidak dirancang. Pemergianku bersama Bakri ke sana juga secara kebetulan.

Kami yang masih bertugas di Pahang ketika itu cuba memanfaatkan cuti panjang hujung tahun dengan melancong secara murah – hitch-hiking. Ketika singgah di rumah seorang teman yang belajar satu maktab dulu, dia mengajak kami menyeberang sempadan.

Rumah Ramli berdekatan Padang Besar. Katanya kami tidak perlukan pasport kerana beliau sudah biasa keluar masuk ke sana. Seorang lagi rakan, Harun turut bersama. Harun menyertai kumpulan kami setelah aku dan Bakri bermalam di rumahnya di Sungai Bakap dua hari sebelum itu.

Ternyata Ramli hebat. Dia tahu ceruk dan lubuk. Sebagai anak muda yang tinggi rasa ingin tahu dan baru hendak jadi dewasa pula, lawatan sambil belajar yang diketuai Ramli benar-benar berkesan. Banyak benda baru yang kami belajar.

Sewaktu leka mendengar ajakan seorang lelaki separuh umur untuk naik ke atas bangunan kedainya, tanpa aku sedari Ramli, Bakri dan Harun hilang. Aku panik.

Dengan cemas aku cuba menjejaknya di beberapa buah kedai yang terletak di hadapan dan kemudiannya berpatah balik ke kedai yang telah kami kunjungi, kelibat mereka masih tidak kelihatan.

Semasa itu aku teringat pesan beberapa kawan. Kalau masuk ke negara orang cara haram, kalau kena tembak mati katak sahajalah. Aku semakin cemas.

Agaknya setelah lebih satu jam aku ke sana ke mari dengan peluh menitik di dahi, akhirnya ketiga-tiga mereka kelihatan di hujung jalan sambil bercerita ria.

Mereka hanya sempat mentertawakan aku. ”Lain kali jangan terlalu kusyuk sangat!”

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (1 votes, average: 5.00 out of 5)
Loading ... Loading ...