Di Sekolah Dulu Archives

Maaf, Cikgu! Saya Mungkir Janji

Oleh: Zulkifli Abu

Matematik memang antara mata pelajaran kegemaranku. Oleh sebab itu tidak menghairankan sekiranya pada setiap kali ujian dan peperiksaan, markah Matematikku antara yang tertinggi di kelas sejak di sekolah rendah lagi.

Bagaimanapun penguasaan Matematikku mula terganggu apabila kami menerima guru baru sewaktu di Tingkatan Dua. Maaf, aku terlupa namanya tetapi guru itu ialah guru TUOS, guru yang menjalani latihan pada cuti sekolah dan mengajar sepenuh masa sewaktu penggal persekolahan. Biarlah aku namakan guruku itu Cikgu M sahaja.

Seperti hari-hari sebelum itu, Cikgu M memanggilku ke hadapan bagi menyelesaikan masalah Matematik yang telah dituliskannya di papan hitam.

“Cikgu tahu, Zul mesti boleh buat ni,” pujinya tanpa dapat aku pastikan kejujurannya.

Aku dipanggil kerana beberapa rakanku yang pandai Matematik juga tidak dapat menyelesaikan masalah itu sebelum itu. Setelah memerhatikan dengan teliti ayat Matematik itu beberapa minit, dengan separuh yakin aku mencatat jawapannya.

Tiba-tiba aku mendengar tepukan Cikgu M. “Kan saya dah kata Zul boleh melakukannya. Berikan tepukan gemuruh,” pinta Cikgu M yang diikuti suasana riuh.

Entahlah, aku macam tidak rasa gembira saja dengan pujian itu. Sewaktu di rumah petang itu aku cuba memerhatikan semula ayat Matematik yang kusalin daripada papan hitam.

“Ha!,” aku tersenyum puas. Aku telah menemui jawapan yang betul; bukan jawapan yang kutulis pagi tadi dan mendapat tepukan gemuruh pula.

Pagi-pagi lagi keesokan harinya aku mencari Cikgu M di Bilik Guru. “Maaf, cikgu! Sebenarnya jawapan yang saya berikan semalam, salah. Ini jawapan yang betul,” kataku sambil menunjukkan kertas catatanku.

Aku lihat Cikgu M terdiam. “Zul! Cikgu harap jangan beritahu perkara ini kepada sesiapa. Lain kali cikgu akan lebih berhati-hati. Diamkan saja perkara ini,” pintanya.

Cikgu M. Maaf, ya! Saya telah pun mungkir  janji.

Guru Pertama

Oleh: Zulkifli Abu

Cikgu Suriani Tainu. Itulah guru pertamaku sejak aku mengenal alam persekolahan kira-kira 46 tahun lalu. Seingat-ingat aku, Cikgu Suriani berulang dari Lenggeng  tetapi tanpa jemu mengajar kami di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu, sekolah kecil yang terletak bersebelahan jalan kereta api Utara-Selatan.

Kurikulum Cikgu Suriani tidak cukup sekadar mengajar kami a, b, c, 1, 2, 3 di bilik darjah yang tidak bermeja dan kerusi. Dengan lembut dia sering mengajak kami ke sungai yang terletak berhampiran sekolah dan mengajar kami mandi dan menggosok daki. Tanpa sabun, biasanya tangan lembutnya turut menggosok bahagian belakang telinga dan pangkal tengkuk. Kadang-kadang merah juga dibuatnya tapi sentuhan lembutnya hingga kini masih terasa.

Sebelum itu sesi dimulakan dengan aktiviti mengambil daun lalang lembut yang kemudian dikisar di tapak tangan untuk dijadikan berus gigi. Tanpa malu kami menanggalkan pakaian dan terus ke sungai yang masih jernih airnya.

“Murid-murid akan mencintai ilmu sekiranya `mencintai’ gurunya. Guru yang menganggap murid-muridnya seperti anak dan adik sendiri.” Begitulah agaknya falsafah pendidikan yang ingin diterapkan walaupun Cikgu Suriani ketika itu tidak pernah mendapat latihan formal psikologi dan pedagogi.

Sehinggalah aku sendiri menjadi guru terlatih kira-kira 30 tahun lalu, ilmu yang `diajar’ Cikgu Suriani menjadi peganganku. Kira-kira 15 tahun yang lalu aku berpeluang pula bertugas melatih bakal guru dan cerita Cikgu Suriani sering sahaja menjadi bahan kuliah pertamaku.

Karya Pertama

Oleh: Zulkifli Abu

Aku ingin menjadi penulis. Ketetapan itu bagaikan tersimpul mati di benakku selepas kelas Bahasa Melayu yang diajar Cikgu Normah Hamid tengah hari itu. Sejak bersama-sama guru lepasan Institut Bahasa itu di Tingkatan Satu, tahun lalu pengajaran Cikgu Normah benar-benar membuatkan kami mencintai mata pelajaran itu.

Tengah hari itu Cikgu Normah meminta kami berkarya; tidak kira bentuknya – cerita pendek, sajak atau karangan biasa.

“Cikgu akan pilih karya yang baik dan cikgu akan muatkan dalam majalah kelas kita nanti,” katanya.

“Cikgu sangat gembira kalau setiap murid ada karyanya dalam majalah itu nanti. Cikgu tahu, semua orang dalam kelas ini berbakat,” tambahnya menyuntik semangat.

Aku benar-benar teruja. Sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah tengah hari itu, benakku sentiasa berfikir-fikir bagaimana untuk berkarya. Tempoh satu bulan yang diberikan benar-benar cepat dirasakan.

Sehinggalah hampir ke tarikh akhir untuk menghantar karya, setiap karya yang cuba aku hasilkan tidak menjadi. Tidak ada karya yang memuaskan hatiku sendiri sedangkan Cikgu Normah pernah berpesan, “Sebelum dapat memuaskan pembaca, kita sebagai penulis mesti puas hati dengan karya itu terlebih dahulu.”

Lantas aku teringat sajak tulisan Pak Kitam, bapa saudaraku yang pernah aku temui di biliknya. Tanpa berfikir panjang aku menyalin sajak itu bulat-bulat dan menghantarkannya kepada Cikgu Normah keesokan harinya.

“Bagus sajak ni. Cikgu akan masukkan dalam majalah kita nanti,” respons Cikgu Normah meyakinkan.

Sehinggalah sajak itu terbit dalam majalah bertulisan tangan yang dibuat dua naskhah pada akhir penggal persekolahan, aku sentiasa sahaja rasa bersalah.

Sewaktu kami meraikan penerbitan majalah itu yang turut dikongsi pengetua, aku masih tidak dapat menghindari perasaan itu.

“Tahniah! Sedap sajak kau,” kawan-kawan memuji jujur. Aku berasa semakin bersalah dan malu.