Di Tempat Kerja Archives

Awak Memang Dengki!

Oleh: Zulkifli Abu

Perhimpunan pagi di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4, Maran, Pahang pagi itu kecoh. Cikgu Fadhil yang baru beberapa bulan sahaja dinaikkan pangkat sebagai guru besar menggunakan hampir setengah jam waktu perhimpunan itu untuk `membelasah’ murid-murid. Kami guru-guru yang tidak sampai 15 orang itu turut menerima bahangnya.

Cikgu Fadhil tidak habis-habis membebel. “Awak memang dengki! Awak tak boleh lihat orang senang,” bentaknya.

Tubuh bulat pendeknya bagaikan berdiri gagah lagak seorang pejuang di medan perang. Penuh keyakinan. “Awak ingat senang ke saya dapatkan benda tu,” tambahnya lagi mencuka.

“Awak memang dengki. Orang kita memang tak habis-habis sifat dengki. Tak boleh lihat orang senang,” kata-kata yang hampir serupa diulang. Murid-murid yang mendengar setia kelihatan terpinga-pinga.

Tamat perhimpunan, kami sesama guru tidak dapat berkata apa-apa, hanya dapat menggeleng-gelengkan kepala. Ini kerana punca Cikgu Fadhil menyinga semata-mata ada seorang dua murid yang mengusik kereta Datsun 120 Y yang baru dibelinya.

Ketua Biro Pertama

Oleh: Zulkifli Abu

Mat Saman memang baik. Mat Saman memang pemurah. Selain sering membelanja kami stringer yang bertugas di bawahnya, Mat Saman tidak lokek menyerahkan assignment. Dengan jumlah assignment yang banyak sahaja membolehkan kami stringer yang dibayar berdasarkan story yang tersiar boleh buat duit sikit.

Kalau dapat Ketua Biro yang nak kemut semua pastilah kami dapat tulis story yang kecil-kecil atau pendek saja. Bila pendek tentulah pendek bayarannya. Ketika itu kadar bayaran kepada stinger ialah RM1.20 per inci per kolum.

Sebenarnya aku sempat lari seketika ke akhbar lawan apabila mengetahui akhbar utama itu akan meletakkan staf sepenuh masa iaitu Mat Saman, sedangkan sebelum itu aku adalah satu-satunya stringer yang sentiasa di pejabat.  Macam staf sepenuh masa.

Bagaimanapun rajukku tak lama. Aku rasa macam tak selesa di situ. Kata putus dibuat apabila akhbar itu menyiarkan story penafian seorang Ketua Bahagian yang ditulis oleh seorang stringer lain terhadap story yang aku buat yang tersiar hari itu. Secara lojik aku terfikir, “takkan akhbar yang sama menafi storynya sendiri.”

Oleh kerana itulah apabila ada semacam usaha memujuk supaya aku kembali ke bertugas di situ, aku terima saja. Apatah lagi Mat Saman macam berjanji bahawa kehadirannya sebagai Ketua Biro di situ tidak akan menyekat peluang sepertimana aku dapat sebelum itu.

Dia mengotakan janjinya. Mat Saman menyerahkan sepenuhnya laporan sukan kepadaku, di samping boleh menulis apa saja yang aku suka. Kalau kurangpun, aku tidak berpeluang sangat lagi membuat liputan kegiatan Menteri Besar macam dulu. Aku faham. Kalau semua stringer buat, apa tugas Ketua Biro.

Oleh kerana itulah apabila berkumpul sesama kami termasuk teman dari akhbar lain, kadang-kadang terkeluar juga pujian kami kepada Mat Saman.

“Siapa boleh lawan staff correspondent kami.”

“Memanglah dia suka dapat orang rajin macam kau orang semua. Siapa yang tak suka kurang kerja. Petang-petang pula boleh main bola dan tak takut kena scoop,” teman-teman itu menyerang kami kembali.

Kami terdiam. Kami tidak ada peluru lagi untuk menembak.

Lesen Besar

Oleh: Zulkifli Abu

Sejak ketiadaan sumberku itu, aku agak sukar juga mengetahui cerita-cerita dalaman bertaraf high profile persatuan itu. Penggantinya mempunyai perwatakan yang berbeza.

Tokoh ini seorang pegawai kanan kerajaan dan jawatan ini telah disediakan sebelum beliau menjejak kaki ke tanah air lagi setelah tamat melanjutkan pelajaran di luar negara.

Beliau tidak banyak cakap. Apa yang ditanya, itu yang dijawab. Sukar kami mendapat cerita-cerita besar seperti dahulu.

Aku tidak menyalahkan beliau. Selain belum saling kenal-mengenali antara satu sama lain dalam tempoh yang lama, perwatakan seseorang itu bukannya sama. Apatah lagi bukan mudah untuk mewujudkan rasa yakin dan percaya.

Bagaimanapun keadaan itu tidak lama. Aku berpeluang mengenalinya lebih dekat apabila diberi kepercayaan menganggotai salah satu jawatankuasa kecil persatuan itu sebagai editor buletin berkalanya.

Dengan kedudukan itu aku berpeluang duduk mesyuarat yang dipengerusikannya. Tanpa disedari, hubungan kami semakin rapat. Puncanya tidak aku ketahui.

Apa yang aku ingat, aku pernah saling cabar-mencabar dengannya kerana bertentangan pendirian dalam satu mesyuarat. Walaupun sering diingatkan oleh ahli jawatankuasa lain jangan cuba lawan taukeh, aku tidak pernah ambil pusing mengenai ingatan itu.

“Jangan bantah cakapnya. Itu kepantangannya,” begitulah antara pesanan mereka.

“Kau tarik balik tuduhan kau itu,” katanya semacam menyinga sewaktu mempengerusikan mesyuarat pada petang itu.

“Saya tak mahu tarik,” jawabku pula.

Entah kerana ketegasanku atau entah kerana apa, hubungan kami semakin rapat selepas itu.

Pernah satu pagi beliau menelefonku.

“Petang ni ikut aku,” katanya.

“Ke mana?,” tanyaku balik.

“Kota Kinabalu. Tengok perlawanan dengan Sabah,” katanya dalam nada ceria.

Sepanjang penerbangan ke Kota Kinabalu aku lebih banyak mengenali dirinya. Apa yang lebih mengejutkan, aku diberi lesen besar.

“Sebenarnya aku tak berapa pandai cakap dengan press. Lepas ini kau boleh tulis apa saja. Syaratnya jangan menyusahkan aku,” katanya tulus.

Apabila Orang Nombor Satupun Menipu

Oleh: Zulkifli Abu

Hebat tak hebatnya sumber berita aku ini, sama ada disedari atau tidak orang nombor satu boleh `menipu’ kami hidup-hidup pada sidang akhbarnya di pejabat barunya petang itu. Sehingga kini aku tidak tahu kenapa beliau sanggup berbuat demikian.

Puncanya pasal rakan sumber beritaku ini. Sejak seminggu dua itu heboh diperkatakan dia akan meletak jawatan. Alasannya untuk ke luar negara melanjut pelajaran.

Sebenarnya serba sedikit punca beliau ingin meletak jawatan aku ketahui daripada sumberku yang lain. Beliau menghadapi masalah peribadi.

Oleh itu peluang untuk bertanya lebih lanjut mengenai masalah itu kami gunakan sepenuhnya pada sidang akhbar itu.

Kami mengemukakan pelbagai bentuk soalan untuk mencari jawapan tapi orang nombor satu tetap menafikan. “Siapa kata dia akan letak jawatan?,” tanya beliau kembali.

Aku tidak mati akal. Sewaktu sumber kuatku itu minta kebenaran ke tandas, beberapa minit kemudian aku mengikutnya dari belakang.

Dalam tandas aku terus bertanya kepadanya. Sambil tersenyum dia mengaku.

Sewaktu akhbar-akhbar lain menyiarkan berita penafian peletakan jawatan setiausahanya oleh orang nombor satu, Berita Harian menyiarkan berita sebaliknya sebagai berita utama ruang sukan.

Akhbar New Straits Times dan Malay Mail dapat cerita yang sama. Aku sering berkongsi cerita dengan stringernya, C. Navaratnam, yang juga seorang guru.

Sumber Berita Nombor Satu

Oleh: Zulkifli Abu

Sepanjang kira-kira 15 tahun terbabit secara aktif sebagai pemberita sambilan, aku boleh mengkategorikan tokoh ini  sebagai sumber berita nombor satu. Gelaran ini wajar diberikan kerana setiap kali menelefon atau menemuinya ada sahaja bahan berita yang aku peroleh daripadanya.

Seronoknya, sekali bertemu atau menelefonnya bahan yang diperoleh bukan satu – kadang-kadang boleh buat dua tiga story. Satu boleh hantar pada hari berkenaan dan bakinya  boleh simpan esok dan lusa.

Aku pasti story itu eksklusif untukku. Tidak ada rakan pemberita lain yang tahu. Oleh sebab itulah aku selalu dapat scoop cerita sukan; secara khususnya bola sepak.

Sumber berita aku ini setiausaha persatuan peringkat negeri dan presidennya orang nombor satu negeri. Oleh sebab kenyataan akhbarnya berserta fotonya sering sahaja jadi bahan utama muka sukan, dia cukup popular.

Sebahagian besar berita yang tersiar tertulis namanya sebagai sumber berita. Bagaimanapun ada juga yang tiada namanya khususnya cerita-cerita dalaman (inside-stories). Masa ini aku lebih senang menyebutnya sebagai `menurut sumber yang boleh dipercayai.’

Aku tidak pasti siapa yang menggunakan siapa. Apa yang pasti aku cukup percaya dengan sumber beritaku ini. Tidak pernah dia berbohong.

Sebagai bekas pegawai tentera, beliau turut menggunakan perang saraf terhadap lawan dan pendekatan itu turut digunakan kepada skuad di bawah pimpinannya.

Ketika heboh diperkatakan mengenai ada pemainnya yang menjual perlawanan, dia terus mengakuinya. “Kau boleh tulis tapi jangan tulis nama aku,” pesannya.

Aku scoop lagi malah dengan berani membayangkan pemain utama yang menjual perlawanan. Besoknya keluar cerita besar lagi.

Bagaikan tahu dia yang dimaksudkan, pemain berkenaan menghubungi aku di pejabat pada petang harinya. Beliau ingin tahu siapa sumber beritaku. Sebagaimana biasa kami merahsiakan sumber berita. Beliau terus mendesak ingin tahu.

Tidak cukup dengan panggilan itu, beberapa minit kemudian aku menerima panggilan daripada isteri pemain tersebut. Malah dengan berani beliau mengugutku untuk mengambil tindakan mahkamah.

Oleh sebab aku telah dimaklumkan oleh sumberku itulah pemain yang dimaksudkan, dengan nada cukup berani aku terus menjawab,” Ambillah tindakan!”.

Sehingga kini aku tidak pernah didakwa di mahkamah  kerana tulisanku. Apa yang pasti, pemain berkenaan kemudiannya diberi kepercayaan melatih skuad  kebangsaan.

Scoop Pertama

Oleh: Zulkifli Abu

“Sembahyang Dua Imam di Palong.” Berita itu jadi cerita muka depan Berita Harian pada hari itu. Pada by-linenya tertulis namaku.

Sewaktu rakan-rakan lain heboh memperkatakan bagaimana aku boleh scoop cerita itu, aku menerima panggilan telefon daripada setiausaha orang nombor satu. Beliau diminta oleh bosnya untuk mendapat penjelasan bagaimana aku mendapat maklumat itu.

Aku jelaskan itulah yang diperkatakan orang nombor satu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri semalam.

Aku tegaskan lagi, aku sendiri yang bertanyakan perkara itu selepas orang nombor satu membayangkan perkara itu memang benar terjadi. Kebetulan sebelum itu isu sembahyang dua imam heboh diperkatakan berlaku di Kelantan dan Terengganu.

Aku ingat cerita itu habis di situ sahaja. Sebelum   satu majlis rasmi orang nombor satu petang itu, beliau sendiri bertanya padaku.

“Mana kau dapat cerita sembahyang dua imam itu?,” tanya beliau dalam muka selamba biasanya.

“Dato’ yang cakap,” jawabku dalam nada selamba juga.

“Letih aku jawab pertanyaan PM pagi tadi.”

“Pagi-pagi lagi dia dah telefon,” tambahnya.

Aku hanya sempat tersenyum tawar.

Pemberita Nombor Satu

Oleh: Zulkifli Abu

Aku memang bukan orang sukan. Sebutlah apa-apa jenis sukan, aku tidak pernah terbabit secara serius. Kalau adapun cuma pernah jadi wakil daerah dalam Pertandingan Sukan Antara Pegawai Perkhidmatan Pelajaran bagi acara pingpong Bukan Melayu sewaktu bertugas di sekolah rendah dahulu. Jadi naib juara pula tu. Sebelum itu pula, penah sekali aku ditugaskan sebagai penjaga garisan perlawanan bola sepak yang mengundang kontroversi. Aku dipersalahkan kerana membiarkan tindakan `curi ayam’ yang membolehkan pasukan itu menang mudah.

Bagaimanapun aku sering dirujuk dalam bidang sukan, sejak jadi stringer Berita Harian. Boleh dikatakan setiap hari ada saja cerita aku di halaman sukan.

Minat menulis cerita sukan ini datang secara tidak sengaja. Minat bermula sewaktu Majid Said menjadi  wakil negeri Berita Harian. “Zul, hang tulis story sukan. Aku dah tak ada masa dah. Story lain banyak,” katanya pada suatu hari.

“Sebagai permulaan hang tulis story ini. Lima pemain utama negeri digugurkan.”

Aku akur dengan permintaannya.

Besok paginya  aku terkejut. Berita itu dijadikan page lead muka belakang dan panjang pula. “Seronok juga. Selain dapat by-line, cerita panjang pula,” fikir hati kecilku.

Pada hujung minggu itu  ada perlawanan di Padang Stesen, Seremban. Perlawanan siri Piala Malaysia. “Hang cover game tu,” pinta Majid petang itu dengan gaya selambanya. “Sabtu ini aku ambil cuti,” tambah Majid yang masih berulang-alik dari Kuala Lumpur ketika itu.

Pengalaman pertama membuat liputan Piala Malaysia memang aku rasa cukup  menyulitkan. Fakta tidak ada masalah; cuma pastikan minit ke berapa jaringan dibuat dan apa insiden menarik yang berlaku sepanjang perlawanan. Yang memeningkan kepala bagaimana hendak mengolah cerita sebagaimana yang selalu aku baca. Aku ingin sangat hendak menggunakan ungkapan seperti menembus gawang gol, hantaran lintang, umpanan cantik dan sebagainya. Colourful dan bombastic.

Waktu itu Hishamudin Aun yang mengambil cerita yang masih dihantar melalui panggilan telefon awam di luar Padang Stesen. Ingat sangat bagaimana aku terpaksa menjerit dalam suasana bising menghantar cerita yang aku anggap cukup colourful itu.

“Zul masa dah lewat ni. Hang bagi aku point cukup,” pinta Hishamudin di hujung talian.

Besoknya berita itu jadi berita utama muka belakang lagi. By-line besar pula. Aku sendiri terkejut badak. Hishamudin boleh menjadikan perlawanan itu cukup menarik tanpa hadir di stadium. Jauh lebih baik daripada aku yang terpaksa berada hampir dua jam di stadium.

Sewaktu minum petang berhampiran pejabat, aku ditegur seorang rakan lama. “Hebatlah ceritakau di Berita Harian hari ini. Aku rasa lebih seronok baca ceritakau daripada menyaksikan perlawanan sebenar semalam,” nadanya jujur.

Aku hanya mampu tersengih.

Apabila Lurus Sangat, Menyusahkan!

Oleh: Zulkifli Abu

Setelah diberitahu bos datang cari dan bising-bising kerana Objektif Penggunaan Pusat Sumber tidak tercapai, dengan berbekalkan data yang ada, aku terus ke pejabatnya pagi itu.

“Susah saya! Dato’ Khusaini tak habis-habis cakap pasal maktab kita. Mengapa maktab kita saja tak boleh capai sedangkan maktab lain boleh,” bos tidak memberi peluang aku menarik nafas selesa sebaik-baik duduk di hadapannya.

Aku tahu kedudukan perkara. Perkara ini semata-mata berpunca daripada kegagalan maktabku memenuhi Objektif Kualiti MS ISO 2000: 2001: Sebanyak 80% pengguna menggunakan Pusat Sumber.

Bagaimanapun dalam laporan yang dibentangkan pada mesyuarat pengarah-pengarah seluruh negara, hanya maktabku sahaja yang tidak mencecah angka itu.

“Susah saya nak jawab,” tambah bos lagi.

“Sebenarnya alat pengukuran yang salah Tuan Haji. Objektif Kualiti nak tentukan peratusan orang yang menggunakan Pusat Sumber sedangkan soal selidik lebih berupa alat mengukur kepuasan pengguna,” aku memberi penjelasan kepada pengarah yang baru beberapa bulan sahaja bertugas di maktab itu.

“Masalah itu dia orang tak hendak tahu. Yang mereka hendak tahu mengapa angka kita bawah 80%,” katanya lagi.

“Tapi angka itu tak ada makna. Biar kita bercakap berdasar fakta dan angka,” aku menjawab.

“Beginilah. Tak perlu kita pening-pening kepala kerana benda ni. Untuk laporan akan datang pastikan angkanya atas 80%. Caranya saya pulangkan kepada kau,” katanya mengalah.

“Hidup ni kalau lurus sangatpun susah!,” katanya separuh mendengus.

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Buka dan Tutup Saja

Oleh: Zulkifli Abu

Mesyuarat Pengurusan Tertinggi jabatan kali kedua bermula tepat jam 9.00 pagi itu. Dengan ini bermakna kali kedua bos baharu kami mempengerusikan mesyuarat bulanan yang diadakan setiap Rabu pertama itu.

Seperti dalam agenda, ketua baharu kami yang kali pertama berkhidmat dalam institusi perguruan itu memulakan ucapannya. Tidak panjang agenda `Ucapan Pengerusi’ itu. Setelah bercakap tidak sampai 10 ayat, bos kami pun menutup agenda dengan kata-kata “Saya serahkanlah mesyuarat ini kepada Timbalan Pengarah,” katanya. Seperti yang dijangkakan, kami berpandangan sesama sendiri.

Pandangan ini ada ceritanya. Pada mesyuarat pertama dulu, kami berasa hairan juga apabila beliau terus menyerahkan mesyuarat kepada timbalannya. “Saya baharu dengan institusi ini. Biar saya tahu dulu budayanya,” katanya.

Kami `memaafkannya’ atas alasan itu. Bagaimanapun peristiwa kedua itu tidak dapat kami `terima’ kerana seperti sebelum itu, bos kami itu sanggup duduk bersama-sama dalam mesyuarat yang biasanya bersambung hingga ke petang dan hanya mengambil alih mesyuarat pada agenda penangguhan mesyuarat.

Sejak itu kami sering mengusik sinis sesama kami `buka dan tutup saja ke?’.

“Kau jumpalah bos di pejabatnya esok. Beritahu dia, dia kena pengerusikan mesyuarat sepenuhnya. Kau saja yang boleh buat kerja ini,” beberapa rakan menemuiku sewaktu minum petang. Aku bersetuju.

Bagaimanapun sebelum sempat ke bilik pengarah keesokan paginya, salah seorang ketua jabatan menelefonku. “Aku fikir kau tak payah jumpa boslah. Dia tu orang baik. Tak sampailah hati aku tengok dia kena tegur,” katanya pendek.

Tidak seperti sebelumnya apabila menghadapi suasana seperti ini, aku membatalkan hasrat bertemu bos. Hal ini bukan kerana apa. Boleh dikatakan hampir kesemua staf menyifatkan bos kami orang baik. Selain sifat ramah dan lemah-lembutnya, dia tidak pernah menyusahkan sesiapa.

“Biarkan sajalah! Dia pun tak lama di sini. Tak sampai setahun lagi bersaralah.” Itulah antara rumusan kawan-kawan Majlis Pengurusan Tertinggi.

Sehinggalah pada mesyuarat kali ke-21, bos kami tetap dengan pegangannya: `buka dan tutup mesyuarat’ sahaja.

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (2 votes, average: 4.00 out of 5)
Loading ... Loading ...

Bos Baharu Lagi

Oleh: Zulkifli Abu

Sekali lagi kami dapat bos wanita. Maaf! Aku tidak berhasrat melakukan diskriminasi gender. Bos yang ini juga mungkin diberikan jawatan tertinggi ini sebagai tempat persinggahan setahun dua sebelum bersara. Rata-rata rakan sekerja biasanya mengambil masa menyesuaikan diri dengan bos baharu yang sebahagian besarnya bukan datang dari institusi yang kami naungi belasan dan sesetengahnya puluhan tahun. Bos kami ini juga datang dari sekolah.

Kadang-kadang terfikir juga. Siapa yang perlu menyesuaikan diri. Yang seorang kepada yang ramai atau yang ramai kepada yang seorang yang datang dari `dunia’ berbeza pula. Bos semestinya betul semuanya. Begitulah kata orang tua-tua.

Maka idea demi idea dibawa oleh bos baharu kami ini. Antaranya yang bersifat rasmi-rasmian yang ingin menunjukkan sifat keintelektualan tetapi pada masa tertentu macam terlupa core-business. Tanpa mahu memperkecilkannya, ada yang berani memberitahu bahawa program itu  tidak praktikal dilaksanakan tetapi bos baru kami tetap dengan pendiriannya.

Lebih memburukkan keadaan, beliau sering bersikap prejudis terhadap beberapa rakan kami yang pernah dikenali sebelum itu. Entahlah, hendak dikatakan beliau terlalu bangga dengan jawatannya itu, tidak juga. Tetapi sebahagian besar staf tidak menyenanginya. Mungkin salah mereka juga. Prejudis. Mereka telah didedahkan dengan pelbagai cerita negatif bos baru sebelum beliau datang lagi.

Dipendekkan cerita hanya selepas bersara, bos kami ini dapat juga menyesuaikan diri dengan sebahagian kecil daripada kami. Tidak tahulah, mungkin beliau terdengar juga ada yang berkata. “Apa nak sombong-sombong sangat waktu jadi ketua ni. Pencen nanti, orang tak peduli.”

Bagaimanapun mungkin pelajaran paling berkesan yang diterimanya ialah sewaktu beliau mengadakan majlis perkahwinan anaknya di dewan besar institusi kami. Beliau telah menempah kira-kira 500 tempat duduk untuk tetamu, sehingga melimpah ke luar dewan tetapi yang berisi cuma kira-kira 300 orang.

Pada suatu hari selepas bersara dia datang ke pejabatku untuk meminjam buku.

“Apa you tak buat macam-macam perubahan sewaktu I di sini dulu,” katanya selamba.

“Puan sombong sangat dulu,” kataku dalam nada selamba juga.

Kali ini dia terima usikanku malah hubungan kami semakin rapat selepas itu. Selain sering datang ke rumah semacam keluarga sendiri dan bersama-sama dalam majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi, bekas bos aku ini telah meminta memanggilnya kakak pula.

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

 Page 1 of 2  1  2 »