Di Universiti Dulu Archives

Takkan Kau Nak Saman Aku

Oleh: Zulkifli Abu

Banyak-banyak kerja kursus, Kursus Penulisan Kreatif pada semester enam adalah antara yang tidak digemari oleh rakan-rakan sekuliahku. Alasannya mudah; sepanjang hayat, sebahagian besar mereka tidak pernah menulis cerpen sedangkan kami perlu menghantarnya dalam tempoh satu bulan. Sesuailah dengan program kami `Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama’, guru yang mengajar bahasa perlu boleh menulis dengan baik; salah satu kemahiran berbahasa yang kurang dikuasai, walaupun sudah lulus universiti.

Apa lagi. Aku, Omar Mamat, Jais Sahok, Rahmat Ghazali dan beberapa rakan sekuliah yang sememangnya telah berkarya sebelum masuk ke universiti menjadi tumpuan teman.

“Beri aku satu cerpen kau yang pernah tersiar tu. Pensyarah bukan tahu!,” itu antara kata yang sering diucapkan untuk memujuk.

Oleh sebab sebahagian besar permintaan itu dibuat berhampiran tarikh akhir, aku bersimpati juga dengan masalah yang dihadapi rakan-rakanku. Tidak ada seorang pun yang aku hampakan permintaan mereka khususnya mereka yang rapat denganku dan mereka yang `sudah hilang malu’ kerana terdesak. “Kalau aku curi cerpen orang, mungkin kena saman. Kalau kau takkan kau nak saman kot?,” usik mereka.

Sebagai seorang yang siuman, pastilah aku memilih cerpen yang kukira paling baik untuk dihantar kepada pensyarah. Walaupun cerpen itu agak pendek tetapi menggunakan cara penyampaian terbaru. Aku ingin bereksperimen dengan cerpen itu. Cerpen yang lari daripada teknik konvensional.

Bagaimanapun ini tidak bermakna cerpen paling buruk aku berikan kepada rakan-rakan yang meminta. Aku telah tunjukkan salinan guntingan akhbar cerpen-cerpenku yang pernah tersiar dan meminta mereka memilih sendiri. Terdengar nafas lega di kalangan mereka.

Sewaktu keputusan dikeluarkan pada semester baharu, sifat membalas budi terpancar tinggi di kalangan rakan-rakan yang menggunakan cerpenku sebagai kerja kursus dahulu. Senak perutku kerana tidak habis-habis makan belanja mereka. “Terima kasih. Kau memang geng kamcing aku. Aku dapat `A’. Kau tentu dapat `A’ punya,” kata mereka.

Aku tersenyum sendirian. Melalui buku inilah kali pertama aku memecahkan rahsia. Tauke cerpen sendiri cuma dapat `B’.

Timbang Kati

Oleh: Zulkifli Abu

Cerita Profesor Buah Mempelam tak habis di situ. Bukti baiknya hubungan beliau dengan pelajar-pelajar, ramai yang diajaknya ke rumah khususnya mereka yang rapat dengannya. Aku tahu cerita ini pun daripada kalangan mereka yang selalu bertandang ke sana. Megah benar mereka bercerita.

Bagaimanapun sebagai bukti betapa rapatnya hubungan itu, ada di kalangan mereka yang terlalu lebih bercerita sehingga tahu segala-galanya. Dia tahu pasal isteri Profesor itu. Dia tahu latar belakang keluarganya. Dan pasti tahu di mana kampung kelahirannya.

“Mu tahu tak? Kerja kursus yang kita buat tu bukan Prof. yang periksa. Satu hari sewaktu aku ke rumahnya, aku terserempak anak buahnya yang buat kerja tu,” kata rakanku yang masih pekat dialek Kelantannya bangga.

“Patutlah mereka yang buat tebal dapat markah tinggi. Tugasan ditimbang kati.” Bagaikan serentak suara itu bergema sesama kami.

Profesor Buah Mempelam

Oleh: Zulkifli Abu

Tidak siapa yang tidak kenal dengan profesor yang satu ini. Walaupun masih bertaraf Profesor Madya, ramai yang panggilnya Prof. atau Dok. sahaja. Menurut pendapat umum tidak rasmi, pensyarah ini cukup disenangi oleh pelajar kerana mudah didampingi dan sesi kuliahnya cukup menghiburkan. Mengapa tidak? Oleh sebab terlalu `taksub’; apa-apa sahaja yang diperkatakan olehnya akan menjadi bahan ketawa.

Bagaimanapun aku agak berkecuali dalam hal ini. Entahlah! Kadang-kadang aku merasakan lawak yang dibuat oleh pensyarahku ini tidak natural. Mengada-ngada. Kami masuk kuliah pun bukan hendak mendengar cerita kartun. Aku akui unsur humor perlu ada pada setiap guru. Dalam teori pengajaran dan pembelajaran unsur ini dikenali sebagai unsur kecindan. Unsur ini perlu untuk menarik perhatian pelajar tetapi janganlah berlebih-lebihan.

Paling aku tidak gemar, pensyarahku ini suka sangat mengulang-ngulang salah satu siri lawaknya itu. Apa lagi kawan-kawan kaki bodek yang sering ingin menarik perhatian. “Cerita buah mempelam Prof.!,” teriak mereka di tengah-tengah waktu kuliah.

Maka sepantas kilatlah, pensyarahku menyebut cerita buah mempelam dalam dialek Kelantannya yang cukup pekat itu. “Orang Kelantan panggil buah itu buah pauh. Kalau panggil buah mempelam jadi buah …….” Riuh rendahlah bilik kuliah ketika itu. Bagaimanapun tidak kurang yang kulihat tidak memberi respons kepada cerita klise itu.

Aku yang bertugas mencatat nota kuliah untuk kegunaan kelas berasa bosan sangat pagi itu. Sama ada aku tidak sihat atau terganggu dengan cerita yang sering diulang-ulang itu menyebabkan aku hilang konsentrasi.

Hanya beberapa patah perkataan yang dapat aku catatkan sepanjang kuliah satu jam itu. Menyedari tanggungjawabku tidak selesai kerana perlu menyerahkan nota kuliah secara bertaip untuk difotostat dan kemudian diedar untuk kesemua 117 ahli kumpulan, aku terpaksa mencari rakan senior malam itu.

Aku terpaksa meminjam nota dua semester lepas iaitu bidang kursus yang sama yang diberikan oleh pensyarah berkenaan kepada rakan seniorku.

Sewaktu membelek-membelek nota itu, rupa-rupanya pencatatnya ketika itu membuat transkripsi penuh bahan kuliah itu. Cerita buah mempelam juga termasuk dalam catatannya.