Oleh: Zulkifli Abu

Cikgu Suriani Tainu. Itulah guru pertamaku sejak aku mengenal alam persekolahan kira-kira 46 tahun lalu. Seingat-ingat aku, Cikgu Suriani berulang dari Lenggeng  tetapi tanpa jemu mengajar kami di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu, sekolah kecil yang terletak bersebelahan jalan kereta api Utara-Selatan.

Kurikulum Cikgu Suriani tidak cukup sekadar mengajar kami a, b, c, 1, 2, 3 di bilik darjah yang tidak bermeja dan kerusi. Dengan lembut dia sering mengajak kami ke sungai yang terletak berhampiran sekolah dan mengajar kami mandi dan menggosok daki. Tanpa sabun, biasanya tangan lembutnya turut menggosok bahagian belakang telinga dan pangkal tengkuk. Kadang-kadang merah juga dibuatnya tapi sentuhan lembutnya hingga kini masih terasa.

Sebelum itu sesi dimulakan dengan aktiviti mengambil daun lalang lembut yang kemudian dikisar di tapak tangan untuk dijadikan berus gigi. Tanpa malu kami menanggalkan pakaian dan terus ke sungai yang masih jernih airnya.

“Murid-murid akan mencintai ilmu sekiranya `mencintai’ gurunya. Guru yang menganggap murid-muridnya seperti anak dan adik sendiri.” Begitulah agaknya falsafah pendidikan yang ingin diterapkan walaupun Cikgu Suriani ketika itu tidak pernah mendapat latihan formal psikologi dan pedagogi.

Sehinggalah aku sendiri menjadi guru terlatih kira-kira 30 tahun lalu, ilmu yang `diajar’ Cikgu Suriani menjadi peganganku. Kira-kira 15 tahun yang lalu aku berpeluang pula bertugas melatih bakal guru dan cerita Cikgu Suriani sering sahaja menjadi bahan kuliah pertamaku.

Cerita lain:

  1. Karya Pertama
  2. Awak Memang Dengki!
  3. Peminat Pertama
  4. Maaf, Cikgu! Saya Mungkir Janji

Filed under: Di Sekolah Dulu

Like this post? Subscribe to my RSS feed and get loads more!