Oleh: Zulkifli Abu

Mat Saman memang baik. Mat Saman memang pemurah. Selain sering membelanja kami stringer yang bertugas di bawahnya, Mat Saman tidak lokek menyerahkan assignment. Dengan jumlah assignment yang banyak sahaja membolehkan kami stringer yang dibayar berdasarkan story yang tersiar boleh buat duit sikit.

Kalau dapat Ketua Biro yang nak kemut semua pastilah kami dapat tulis story yang kecil-kecil atau pendek saja. Bila pendek tentulah pendek bayarannya. Ketika itu kadar bayaran kepada stinger ialah RM1.20 per inci per kolum.

Sebenarnya aku sempat lari seketika ke akhbar lawan apabila mengetahui akhbar utama itu akan meletakkan staf sepenuh masa iaitu Mat Saman, sedangkan sebelum itu aku adalah satu-satunya stringer yang sentiasa di pejabat.  Macam staf sepenuh masa.

Bagaimanapun rajukku tak lama. Aku rasa macam tak selesa di situ. Kata putus dibuat apabila akhbar itu menyiarkan story penafian seorang Ketua Bahagian yang ditulis oleh seorang stringer lain terhadap story yang aku buat yang tersiar hari itu. Secara lojik aku terfikir, “takkan akhbar yang sama menafi storynya sendiri.”

Oleh kerana itulah apabila ada semacam usaha memujuk supaya aku kembali ke bertugas di situ, aku terima saja. Apatah lagi Mat Saman macam berjanji bahawa kehadirannya sebagai Ketua Biro di situ tidak akan menyekat peluang sepertimana aku dapat sebelum itu.

Dia mengotakan janjinya. Mat Saman menyerahkan sepenuhnya laporan sukan kepadaku, di samping boleh menulis apa saja yang aku suka. Kalau kurangpun, aku tidak berpeluang sangat lagi membuat liputan kegiatan Menteri Besar macam dulu. Aku faham. Kalau semua stringer buat, apa tugas Ketua Biro.

Oleh kerana itulah apabila berkumpul sesama kami termasuk teman dari akhbar lain, kadang-kadang terkeluar juga pujian kami kepada Mat Saman.

“Siapa boleh lawan staff correspondent kami.”

“Memanglah dia suka dapat orang rajin macam kau orang semua. Siapa yang tak suka kurang kerja. Petang-petang pula boleh main bola dan tak takut kena scoop,” teman-teman itu menyerang kami kembali.

Kami terdiam. Kami tidak ada peluru lagi untuk menembak.

Cerita lain:

  1. Isteri Pertama
  2. Anak Pertama

Filed under: Di Tempat Kerja

Like this post? Subscribe to my RSS feed and get loads more!