Lesen Besar
Oleh: Zulkifli Abu
Sejak ketiadaan sumberku itu, aku agak sukar juga mengetahui cerita-cerita dalaman bertaraf high profile persatuan itu. Penggantinya mempunyai perwatakan yang berbeza.
Tokoh ini seorang pegawai kanan kerajaan dan jawatan ini telah disediakan sebelum beliau menjejak kaki ke tanah air lagi setelah tamat melanjutkan pelajaran di luar negara.
Beliau tidak banyak cakap. Apa yang ditanya, itu yang dijawab. Sukar kami mendapat cerita-cerita besar seperti dahulu.
Aku tidak menyalahkan beliau. Selain belum saling kenal-mengenali antara satu sama lain dalam tempoh yang lama, perwatakan seseorang itu bukannya sama. Apatah lagi bukan mudah untuk mewujudkan rasa yakin dan percaya.
Bagaimanapun keadaan itu tidak lama. Aku berpeluang mengenalinya lebih dekat apabila diberi kepercayaan menganggotai salah satu jawatankuasa kecil persatuan itu sebagai editor buletin berkalanya.
Dengan kedudukan itu aku berpeluang duduk mesyuarat yang dipengerusikannya. Tanpa disedari, hubungan kami semakin rapat. Puncanya tidak aku ketahui.
Apa yang aku ingat, aku pernah saling cabar-mencabar dengannya kerana bertentangan pendirian dalam satu mesyuarat. Walaupun sering diingatkan oleh ahli jawatankuasa lain jangan cuba lawan taukeh, aku tidak pernah ambil pusing mengenai ingatan itu.
“Jangan bantah cakapnya. Itu kepantangannya,” begitulah antara pesanan mereka.
“Kau tarik balik tuduhan kau itu,” katanya semacam menyinga sewaktu mempengerusikan mesyuarat pada petang itu.
“Saya tak mahu tarik,” jawabku pula.
Entah kerana ketegasanku atau entah kerana apa, hubungan kami semakin rapat selepas itu.
Pernah satu pagi beliau menelefonku.
“Petang ni ikut aku,” katanya.
“Ke mana?,” tanyaku balik.
“Kota Kinabalu. Tengok perlawanan dengan Sabah,” katanya dalam nada ceria.
Sepanjang penerbangan ke Kota Kinabalu aku lebih banyak mengenali dirinya. Apa yang lebih mengejutkan, aku diberi lesen besar.
“Sebenarnya aku tak berapa pandai cakap dengan press. Lepas ini kau boleh tulis apa saja. Syaratnya jangan menyusahkan aku,” katanya tulus.
Cerita lain:
Filed under: Di Tempat Kerja
Like this post? Subscribe to my RSS feed and get loads more!
Leave a Reply