Isteri Pertama
Oleh: Zulkifli Abu
Isteriku bukan tidak suka aku tolong orang. Bagaimanapun mungkin selalu sangat mendengar cerita aku ditipu kawan, dia macam sudah tidak percaya apabila aku bercerita mengenai perkongsian baharu atau cerita kawan hendak meminjam wang.
Pada peringkat awal dahulu aku ambil peduli juga akan sikapnya itu.
“Kita hidup bermasyarakat. Mana boleh tolong, kita tolonglah,” selalu sahaja aku menggunakan ungkapan klise itu.
“Masalahnya bukan tak boleh tolong. Kesemua orang yang abang tolong akhirnya menyusahkan. Janji tinggal janji kosong,” acahnya lojik.
Oleh sebab itulah apabila Mat Saman, seorang lagi kawan baikku meminta tolong sebagai penjamin pinjaman keretanya; bukan setakat aku segera menyetujuinya tetapi sempat pula berpesan, “Jangan beritahu kakak kau,” kataku merujuk isteriku yang juga kenalan rapatnya.
Kebetulan Mat Saman ketika itu tiada pekerjaan tetap. Sejak balik dari Amerika, Mat Saman tidak pernah kekal kerja setempat walaupun sebahagian majikannya ialah orang nombor satu sama ada pada peringkat negeri atau organisasi.
“Saya dah ambil keputusan bang! Saya nak berniaga.” Berdasarkan ketetapan yang dikatakan telah bulat itulah aku bersetuju beliau menjadi rakan kongsi syarikat penerbitanku. Perkongsian pintar; ada projek ada duit. Tidak ada kerja, tidak ada gaji. Beliau bersetuju.
Pada suatu pagi Mat Saman meminta aku datang ke pusat pameran kereta. Zed, adik lelakinya turut kelihatan di situ. Mat Saman meminta aku menandatangani borang sebagai penjamin. Melalui data yang ada, aku tahu nilai kereta sebenar bukan seperti yang tertera. Harganya lebih rendah. Bagaimanapun aku faham, hanya dengan angka itu Mat Saman boleh mendapatkan kereta tanpa perlu membayar wang muka atau bayarannya kecil sahaja. Sebelum balik, Mat Saman sempat meminta tolong lagi, “Saya tahu abang ramai kawan di JPJ. Tolong ambil Nombor 4000. Itu nombor rasmi saya,” katanya.
Begitulah biasanya aku. Aku terus ke JPJ dan mengemukakan borang tender nombor yang diminta. Aku diminta meletak harga RM300.00
Beberapa hari kemudian, Mat Saman datang ke pejabatku pula. “Borang yang abang tanda tangan dulu salah. Tandatangan borang yang ini,”pintanya.
Borang Indemniti yang memberi kuasa sepenuhnya kepada Syarikat Kewangan untuk menyamakan taraf peminjam dan penjamin.
Seingat-ingat aku, aku tidak pernah sekalipun tumpang kereta baru Mat Saman. Kereta yang aku jamin dan bayar nombor 4000nya. Yang aku ingat, aku terkejut beruk apabila menerima salinan surat ingatan supaya menjelaskan bayaran bulanan dua kereta daripada jenis yang sama, nama peminjam yang sama; dan kedua-dua kereta itu aku penjaminnya. Yang berbeza cuma nama syarikat pinjaman kewangannya. Baru aku tahu kereta yang dipakai Zed, aku juga penjaminnya.
Mungkin untuk berasa selamat, Mat Saman meletakkan alamat pejabat bagi pinjaman sebuah kereta dan satu lagi alamat rumahku. Surat ingatan yang tiba berkali-kali yang beralamat rumahku itulah yang menimbulkan sangsi isteri.
Aku sudah tidak dapat menutup rahsia lagi lalu menyerah sahaja. “Abang jadi penjamin Mat Saman.”
Aku tidak menceritakan bahawa di pejabat juga aku menerima jenis surat yang sama.
Cerita lain:
Filed under: Kisah Keluarga
Like this post? Subscribe to my RSS feed and get loads more!
Leave a Reply