Sebagai guru, saya memang suka bercerita.  Amalan ini saya mulakan sejak mengajar di sekolah rendah (tahun 1-6), kemudiannya di sekolah menengah (Tingkatan 1 – 6) hinggalah selama hampir 18 tahun mengajar di institut perguruan yang kini bertaraf universiti.

Walaupun siapa khalayaknya, yang pasti murid/ pelajar saya memang suka mendengar cerita. Saya mempunyai `stok’ cerita yang besar. Cerita-cerita ini turut menjadi modal saya sewaktu mengendalikan latihan di pelbagai peringkat.

Sebetulnya, sejak awal tahun 1970-an lagi saya telah menulis cerpen. Boleh dikatakan kesemua cerpen yang dihantar ke akhbar dan majalah tersiar. Pertandingan? Saya cuma menyertai dua pertandingan cerpen – kedua-duanya menang.

Bagaimanapun akhir-akhir ini, saya mendapat kesan, pembaca sudah mula `malas’ membaca cerpen. Mungkin sifat panjangnya. Jadi, saya menulis anekdot. Formatnya serupa – ada tema, plot, unsur pengajaran, suspen dan sebagainya – tetapi pendek.

Saya bersama-sama rakan di Bahagian Pendidikan Guru cuba mempopularkan anekdot melalui siri Secawan Kopi Daripada Guru yang diterbitkan dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Buku Malaysia.

Sejak akhbar Mingguan Watan diterbitkan kembali Ogos 2008, ceritaapasaja telah dijadikan kolum tetap. Saya yang membangunkan kolum ini.