Selamat Datang !
Cerita Yang Menjentik Minda dan Rasa!

Manusia suka bercerita. Manusia suka dengar, baca dan tengok cerita. Sewaktu manusia tidak tahu tulis baca, cerita disampaikan melalui apa yang ada; mulut, kuis dan tepis tangan yang kemudian dikenal cerita rakyat. Cerita yang sama diturunkan dari masa ke masa dengan tokok tambah dan warna; sehingga tidak tahu siapa pencerita asalnya. Waktu berubah, teknologi bertukar.

Hasilnya, cerita boleh dikongsi dalam bentuk apa sahaja. Cerita ada dalam tv. Cerita ada dalam CD. Manusia sanggup berasak di panggung untuk tengok cerita. Manusia sanggup bayar tinggi untuk ketawa dan takutkan dirinya. Apa kata kita kongsi cerita? Cerita apa saja.

Hantar Karya Anda? Klik Sini !

Konsep Kami

Ciptakraf Publishing & Distributor (penerbit) mengambil inisiatif untuk membangunkan jenama ini. Untuk menggerakkannya, syarikat ini akan menjadikan laman web ceritaapasaja.com sebagai katalisnya.   Maklumat Lanjut Di sini

Mengapa Anekdot?

Sebagai guru, saya memang suka bercerita. Amalan ini saya mulakan sejak mengajar di sekolah rendah (tahun 1-6), kemudiannya di sekolah menengah (Tingkatan 1 – 6) hinggalah selama hampir 18 tahun mengajar di institut perguruan yang kini bertaraf universiti.  Baca Selanjutnya..

Guru Nombor Satu

Oleh: Zulkifli Abu

“Hidup ni bukan susah. Berkata yang benar saja.

“Jangan sesekali berbohong. Kalau salah, mengaku. Jangan cari alasan.

“Jangan tipu orang. Orang tipu kita, itu hal dia. Dia yang tanggung dosa, bukan kita.

“Biar orang kata kita bodoh asal kita tahu apa-apa yang kita buat betul.

“Kalau tak mampu nak tolong, jangan susahkan orang.

“Percaya adanya akhirat?

“Kalau percaya, buktikannya. Terima apa-apa saja, seadanya.

“Allah tahu segala-galanya. Orang lain tak tahu, tak apa.

“Insya-Allah hidup kita akan tenang.

Itulah antara pesanan emak sejak aku mengenal makna. Kata-kata yang bermaksud serupa terus dilontarkannya lembut tanpa jemu hingga kini. Emak yang hanya sempat belajar a, b, c di Sekolah Dewasa.

Kata emak;

Kok mandi biar di hilir-hilir

Kok cakap siang, pandang-pandang

Kok cakap malam, dengar-dengar

Entah mengapa emak selalu menganjurkan,

Jadilah ayam betina

Kadang-kadang aku terlupa juga.

Thailand menggamitku

Oleh: Zulkifli Abu

Tahun 1976. Itu pertama kali aku menjejak kaki ke negara Gajah Putih, Thailand. Sebelum itu memang selalu aku dengar cerita pasal orang Siam. Cerita streotaip yang diceritakan orang muda.

Bagaimanapun pemergianku ke Thailand tidak dirancang. Pemergianku bersama Bakri ke sana juga secara kebetulan.

Kami yang masih bertugas di Pahang ketika itu cuba memanfaatkan cuti panjang hujung tahun dengan melancong secara murah – hitch-hiking. Ketika singgah di rumah seorang teman yang belajar satu maktab dulu, dia mengajak kami menyeberang sempadan.

Rumah Ramli berdekatan Padang Besar. Katanya kami tidak perlukan pasport kerana beliau sudah biasa keluar masuk ke sana. Seorang lagi rakan, Harun turut bersama. Harun menyertai kumpulan kami setelah aku dan Bakri bermalam di rumahnya di Sungai Bakap dua hari sebelum itu.

Ternyata Ramli hebat. Dia tahu ceruk dan lubuk. Sebagai anak muda yang tinggi rasa ingin tahu dan baru hendak jadi dewasa pula, lawatan sambil belajar yang diketuai Ramli benar-benar berkesan. Banyak benda baru yang kami belajar.

Sewaktu leka mendengar ajakan seorang lelaki separuh umur untuk naik ke atas bangunan kedainya, tanpa aku sedari Ramli, Bakri dan Harun hilang. Aku panik.

Dengan cemas aku cuba menjejaknya di beberapa buah kedai yang terletak di hadapan dan kemudiannya berpatah balik ke kedai yang telah kami kunjungi, kelibat mereka masih tidak kelihatan.

Semasa itu aku teringat pesan beberapa kawan. Kalau masuk ke negara orang cara haram, kalau kena tembak mati katak sahajalah. Aku semakin cemas.

Agaknya setelah lebih satu jam aku ke sana ke mari dengan peluh menitik di dahi, akhirnya ketiga-tiga mereka kelihatan di hujung jalan sambil bercerita ria.

Mereka hanya sempat mentertawakan aku. ”Lain kali jangan terlalu kusyuk sangat!”

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (1 votes, average: 5.00 out of 5)
Loading ... Loading ...

Apabila Lurus Sangat, Menyusahkan!

Oleh: Zulkifli Abu

Setelah diberitahu bos datang cari dan bising-bising kerana Objektif Penggunaan Pusat Sumber tidak tercapai, dengan berbekalkan data yang ada, aku terus ke pejabatnya pagi itu.

“Susah saya! Dato’ Khusaini tak habis-habis cakap pasal maktab kita. Mengapa maktab kita saja tak boleh capai sedangkan maktab lain boleh,” bos tidak memberi peluang aku menarik nafas selesa sebaik-baik duduk di hadapannya.

Aku tahu kedudukan perkara. Perkara ini semata-mata berpunca daripada kegagalan maktabku memenuhi Objektif Kualiti MS ISO 2000: 2001: Sebanyak 80% pengguna menggunakan Pusat Sumber.

Bagaimanapun dalam laporan yang dibentangkan pada mesyuarat pengarah-pengarah seluruh negara, hanya maktabku sahaja yang tidak mencecah angka itu.

“Susah saya nak jawab,” tambah bos lagi.

“Sebenarnya alat pengukuran yang salah Tuan Haji. Objektif Kualiti nak tentukan peratusan orang yang menggunakan Pusat Sumber sedangkan soal selidik lebih berupa alat mengukur kepuasan pengguna,” aku memberi penjelasan kepada pengarah yang baru beberapa bulan sahaja bertugas di maktab itu.

“Masalah itu dia orang tak hendak tahu. Yang mereka hendak tahu mengapa angka kita bawah 80%,” katanya lagi.

“Tapi angka itu tak ada makna. Biar kita bercakap berdasar fakta dan angka,” aku menjawab.

“Beginilah. Tak perlu kita pening-pening kepala kerana benda ni. Untuk laporan akan datang pastikan angkanya atas 80%. Caranya saya pulangkan kepada kau,” katanya mengalah.

“Hidup ni kalau lurus sangatpun susah!,” katanya separuh mendengus.

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Buka dan Tutup Saja

Oleh: Zulkifli Abu

Mesyuarat Pengurusan Tertinggi jabatan kali kedua bermula tepat jam 9.00 pagi itu. Dengan ini bermakna kali kedua bos baharu kami mempengerusikan mesyuarat bulanan yang diadakan setiap Rabu pertama itu.

Seperti dalam agenda, ketua baharu kami yang kali pertama berkhidmat dalam institusi perguruan itu memulakan ucapannya. Tidak panjang agenda `Ucapan Pengerusi’ itu. Setelah bercakap tidak sampai 10 ayat, bos kami pun menutup agenda dengan kata-kata “Saya serahkanlah mesyuarat ini kepada Timbalan Pengarah,” katanya. Seperti yang dijangkakan, kami berpandangan sesama sendiri.

Pandangan ini ada ceritanya. Pada mesyuarat pertama dulu, kami berasa hairan juga apabila beliau terus menyerahkan mesyuarat kepada timbalannya. “Saya baharu dengan institusi ini. Biar saya tahu dulu budayanya,” katanya.

Kami `memaafkannya’ atas alasan itu. Bagaimanapun peristiwa kedua itu tidak dapat kami `terima’ kerana seperti sebelum itu, bos kami itu sanggup duduk bersama-sama dalam mesyuarat yang biasanya bersambung hingga ke petang dan hanya mengambil alih mesyuarat pada agenda penangguhan mesyuarat.

Sejak itu kami sering mengusik sinis sesama kami `buka dan tutup saja ke?’.

“Kau jumpalah bos di pejabatnya esok. Beritahu dia, dia kena pengerusikan mesyuarat sepenuhnya. Kau saja yang boleh buat kerja ini,” beberapa rakan menemuiku sewaktu minum petang. Aku bersetuju.

Bagaimanapun sebelum sempat ke bilik pengarah keesokan paginya, salah seorang ketua jabatan menelefonku. “Aku fikir kau tak payah jumpa boslah. Dia tu orang baik. Tak sampailah hati aku tengok dia kena tegur,” katanya pendek.

Tidak seperti sebelumnya apabila menghadapi suasana seperti ini, aku membatalkan hasrat bertemu bos. Hal ini bukan kerana apa. Boleh dikatakan hampir kesemua staf menyifatkan bos kami orang baik. Selain sifat ramah dan lemah-lembutnya, dia tidak pernah menyusahkan sesiapa.

“Biarkan sajalah! Dia pun tak lama di sini. Tak sampai setahun lagi bersaralah.” Itulah antara rumusan kawan-kawan Majlis Pengurusan Tertinggi.

Sehinggalah pada mesyuarat kali ke-21, bos kami tetap dengan pegangannya: `buka dan tutup mesyuarat’ sahaja.

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (2 votes, average: 4.00 out of 5)
Loading ... Loading ...

Bos Baharu Lagi

Oleh: Zulkifli Abu

Sekali lagi kami dapat bos wanita. Maaf! Aku tidak berhasrat melakukan diskriminasi gender. Bos yang ini juga mungkin diberikan jawatan tertinggi ini sebagai tempat persinggahan setahun dua sebelum bersara. Rata-rata rakan sekerja biasanya mengambil masa menyesuaikan diri dengan bos baharu yang sebahagian besarnya bukan datang dari institusi yang kami naungi belasan dan sesetengahnya puluhan tahun. Bos kami ini juga datang dari sekolah.

Kadang-kadang terfikir juga. Siapa yang perlu menyesuaikan diri. Yang seorang kepada yang ramai atau yang ramai kepada yang seorang yang datang dari `dunia’ berbeza pula. Bos semestinya betul semuanya. Begitulah kata orang tua-tua.

Maka idea demi idea dibawa oleh bos baharu kami ini. Antaranya yang bersifat rasmi-rasmian yang ingin menunjukkan sifat keintelektualan tetapi pada masa tertentu macam terlupa core-business. Tanpa mahu memperkecilkannya, ada yang berani memberitahu bahawa program itu  tidak praktikal dilaksanakan tetapi bos baru kami tetap dengan pendiriannya.

Lebih memburukkan keadaan, beliau sering bersikap prejudis terhadap beberapa rakan kami yang pernah dikenali sebelum itu. Entahlah, hendak dikatakan beliau terlalu bangga dengan jawatannya itu, tidak juga. Tetapi sebahagian besar staf tidak menyenanginya. Mungkin salah mereka juga. Prejudis. Mereka telah didedahkan dengan pelbagai cerita negatif bos baru sebelum beliau datang lagi.

Dipendekkan cerita hanya selepas bersara, bos kami ini dapat juga menyesuaikan diri dengan sebahagian kecil daripada kami. Tidak tahulah, mungkin beliau terdengar juga ada yang berkata. “Apa nak sombong-sombong sangat waktu jadi ketua ni. Pencen nanti, orang tak peduli.”

Bagaimanapun mungkin pelajaran paling berkesan yang diterimanya ialah sewaktu beliau mengadakan majlis perkahwinan anaknya di dewan besar institusi kami. Beliau telah menempah kira-kira 500 tempat duduk untuk tetamu, sehingga melimpah ke luar dewan tetapi yang berisi cuma kira-kira 300 orang.

Pada suatu hari selepas bersara dia datang ke pejabatku untuk meminjam buku.

“Apa you tak buat macam-macam perubahan sewaktu I di sini dulu,” katanya selamba.

“Puan sombong sangat dulu,” kataku dalam nada selamba juga.

Kali ini dia terima usikanku malah hubungan kami semakin rapat selepas itu. Selain sering datang ke rumah semacam keluarga sendiri dan bersama-sama dalam majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi, bekas bos aku ini telah meminta memanggilnya kakak pula.

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Bidan Terjun

Oleh: Zulkifli Abu

“Zul, kau jadi emcee!,” bekas bos menemui aku cemas di luar dewan makan sebuah hotel terkemuka senja itu. “Muka Muzamil tak nampak lagi,” katanya. “Tak boleh Dato’! Lepas acara aluan emcee saya kena kendalikan tayangan klip video. Tak `cantik’ perjalanan majlis nanti,” kataku terus-terang sambil menghadap muka bekas bos yang cukup cemas ketika itu.

“Tolonglah saya kali ini. Biar saya kendali acara aluan majlis. Lepas acara tayangan video tu nanti kau terus ambil-alih majlis,” katanya merayu. “Saya tahu kau boleh,” pintanya lagi sambil menyebut beberapa majlis yang aku kendalikan di peringkat maktab dan negeri sebelum itu.

“Ha! Itu pun MB dah datang,” katanya tergesa-gesa sambil berlari-lari anak ke dalam dewan untuk mengumumkan ketibaannya.

Kalau tak silap aku, itulah pertama kali aku cuba belajar berkata `tidak’ setelah beberapa kali dinasihatkan beberapa rakan baikku  selepas sering mengadu kesibukanku. “Macam mana tak sibuk. Sanggup jadi Pak Sanggup,” kata mereka.

Aku turut masuk ke dewan sambil mencatat teks emcee di halaman buku program yang kosong sambil menanti giliran untuk acara tayangan klip video mengenai Tan Sri Samad Idris, tokoh yang biografinya akan dilancarkan pada malam itu.

Walaupun secara bergurau, Menteri Besar memulakan ucapan dengan kata-kata `Terima kasih juruacara kedua’ setelah aku mempersilakan beliau berucap, majlis itu tetap berjalan lancar sehingga ke peringkat hampir tamat walaupun tanpa persiapan rapi.

Bagaimanapun kejutan tetap berlaku. Dengan hanya bersandarkan atur cara pada buku program tanpa membuat penyelarasan dengan pihak hotel, aku terus mengumumkan “Dengan ini berakhirlah majlis kita pada malam ini. Sekian. Wabillahitaufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah.” Aku tidak mendengar tepukan seperti biasa, sebaliknya tetamu di meja utama bagaikan termangu-mangu. Menteri Besar sendiri aku lihat baru hendak menyuap menu akhir makanan cara Cina pada malam itu.

Tanpa berfikir panjang, aku meneruskan majlis dengan mengungkapkan, “Sebenarnya majlis rasmi sahaja yang berakhir. Kita boleh meneruskan acara makan secara santai. Maaf atas kesilapan ini.”

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Soil-Test

Oleh: Zulkifli Abu

Seingat-ingat aku, itulah kali pertama aku dihalau daripada mesyuarat dalam sejarah hidupku. Pada Mesyuarat Bulanan Pengurusan Tertinggi itu aku benar-benar telah menunaikan janjiku kepada rakan-rakan ahli mesyuarat. Aku telah diberi amanah menghantar `signal’ kepada bos kami yang suka sangat memperincikan sesuatu isu hingga menyebabkan hampir setiap kali mesyuarat yang biasanya bermula dari jam 8.00 pagi terlajak ke pukul 6.00 petang.

Antara isu yang dibincangkan petang itu ialah mengenai rancangan pembinaan bangunan tambahan. Pihak jabatan diminta mencadangkan tempat yang sesuai. Keputusan itu sebenarnya telah diambil secara kolektif bahawa tempat paling sesuai ialah bersebelahan Blok C.

Bagaimanapun bos memperincikan lagi cadangan itu dengan bercerita panjang lebar termasuk kajian tanah. Walaupun semacam tahu sebahagian daripada kami mula resah dengan perkara yang diperkatakan, bos terus bercerita panjang. “Setahu saya soil test kena dilakukan dulu,” katanya lagi penuh yakin.

Agaknya kerana terlalu bosan, aku terus mengangkat tangan dan bersuara. “Pengerusi! Saya fikir soil-test bukan kerja kita. Itu kerja engineer.”

Tanpa menunggu panjang, bos nombor satu terus bersuara, “Kalau you fade-up dengan mesyuarat ni, eloklah you keluar saja,” suaranya tinggi sambil membetulkan tudungnya.

Aku terus berada di kerusi sehingga tamat mesyuarat.

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Karya Pertama

Oleh: Zulkifli Abu

Aku ingin menjadi penulis. Ketetapan itu bagaikan tersimpul mati di benakku selepas kelas Bahasa Melayu yang diajar Cikgu Normah Hamid tengah hari itu. Sejak bersama-sama guru lepasan Institut Bahasa itu di Tingkatan Satu, tahun lalu pengajaran Cikgu Normah benar-benar membuatkan kami mencintai mata pelajaran itu.

Tengah hari itu Cikgu Normah meminta kami berkarya; tidak kira bentuknya – cerita pendek, sajak atau karangan biasa.

“Cikgu akan pilih karya yang baik dan cikgu akan muatkan dalam majalah kelas kita nanti,” katanya.

“Cikgu sangat gembira kalau setiap murid ada karyanya dalam majalah itu nanti. Cikgu tahu, semua orang dalam kelas ini berbakat,” tambahnya menyuntik semangat.

Aku benar-benar teruja. Sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah tengah hari itu, benakku sentiasa berfikir-fikir bagaimana untuk berkarya. Tempoh satu bulan yang diberikan benar-benar cepat dirasakan.

Sehinggalah hampir ke tarikh akhir untuk menghantar karya, setiap karya yang cuba aku hasilkan tidak menjadi. Tidak ada karya yang memuaskan hatiku sendiri sedangkan Cikgu Normah pernah berpesan, “Sebelum dapat memuaskan pembaca, kita sebagai penulis mesti puas hati dengan karya itu terlebih dahulu.”

Lantas aku teringat sajak tulisan Pak Kitam, bapa saudaraku yang pernah aku temui di biliknya. Tanpa berfikir panjang aku menyalin sajak itu bulat-bulat dan menghantarkannya kepada Cikgu Normah keesokan harinya.

“Bagus sajak ni. Cikgu akan masukkan dalam majalah kita nanti,” respons Cikgu Normah meyakinkan.

Sehinggalah sajak itu terbit dalam majalah bertulisan tangan yang dibuat dua naskhah pada akhir penggal persekolahan, aku sentiasa sahaja rasa bersalah.

Sewaktu kami meraikan penerbitan majalah itu yang turut dikongsi pengetua, aku masih tidak dapat menghindari perasaan itu.

“Tahniah! Sedap sajak kau,” kawan-kawan memuji jujur. Aku berasa semakin bersalah dan malu.

Jutawan Plastik

Oleh: Zulkifli Abu

Sewaktu sering ke pasar atau pasar raya; buah-buahan, ikan atau apa saja yang aku beli hanya dibungkus dengan kertas oleh pekedai-pekedai di Birmingham ketika itu. Pada mulanya aku berasa pelik juga. ”Sudah maju tapi masih guna karung kertas,” getus hati kecilku.

Sewaktu mengajukan pertanyaan itu kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana, aku difahamkan Mat Saleh England sangat menghargai alam sekitar. Mereka tidak mahu menggunakan plastik kerana menurut mereka ia boleh mencemarkan – umur hayat plastik cukup panjang kalau ditanam.

Tidak mahu percaya dengan alasan itu, aku cuba mencari kemungkinan lain mengapa mereka tidak mahu menggunakan plastik. ”Ha! Mungkin mereka tidak ada ubiyu (sejenis ubi kayu), salah satu bahan utama untuk membuat plastik,” aku membuat kesimpulan.

Mungkin kerana ada juga sifat berniaga dalam diri, suatu hari aku nyatakan hasratku untuk mengeksport plastik kepada seorang peniaga berketurunan Pakistan sewaktu ke kedainya.

Aku katakan kepadanya Malaysia banyak kilang plastik. Aku boleh bertindak sebagai pengeksport dan beliau boleh bertindak sebagai pembekal tunggal di England.

Kalau mahu menjimatkan kos, aku mencadangkan kepadanya pula supaya beliau membuka kilang plastik dan aku menjadi pembekal bahan mentahnya (waktu itu ubiyu banyak ditanam di Malaysia).

Lelaki separuh umur itu juga tidak yakin dengan cadanganku. Katanya Mat Saleh di England bersifat konservatif. Mereka sukar berubah. Faktor alam sekitar hanya alasan.

Berdasarkan pernyataan peniaga berketurunan Pakistan itu, idea aku itu tenggelam begitu sahaja sehinggalah aku menjejak kaki kembali kira-kira 10 tahun kemudiannya.

Sewaktu datang untuk belajar peringkat sarjana, aku lihat semua kedai telah menggunakan plastik; tidak karung kertas lagi.

Kalaulah lelaki Pakistan itu dulu bersetuju dengan cadanganku, kami sudah jadi jutawan kini. Jutawan plastik.

Sahabat Nombor Satu

Oleh: Zulkifli Abu

Malam itu setiausaha orang nombor satu singgah lagi di rumah. Rambutnya tidak terurus. Pada wajahnya terpancar rasa gelisah dan tertekan yang amat sangat. Beberapa kali aku lihat dia menarik dan menaikkan ikatan kain pelikatnya.

“Aku dah fikir panjang. Aku nak berhenti,” katanya lemah.

Ini bukan kali pertama dia mengucapkan kata-kata itu. Rasa kekecewaannya terhadap jawatan yang dipegangnya lebih 15 tahun lalu itu telah beberapa kali diperkatakan.

Aku turut dapat merasai perasaan kecewanya. Dia bukan kecewa kerana menghadapi kerja tetapi kecewa kerana tidak diberi kerja.

Bagi orang yang workaholic dan mempunyai self-esteem yang tinggi, langkah bos yang tidak meminta lagi staf yang cukup dipercayai selama ini melaksanakan tugas hariannya boleh dianggap satu penghinaan.

“Aku tahu dia sudah ada kumpulan pemikirnya sendiri. Dia tak perlukan teks aku lagi. Tapi…. beritahu sajalah secara terus-terang,” katanya semacam merungut.

Sebelum balik agak lewat malam itu sahabat karibku itu sempat memberi arahan.

“Tolong drafkan surat letak jawatan. Aku nak buat umrah lusa. Nak minta petunjuk,” katanya tegas.

Aku kategorikan rakanku ini sebagai sahabat nombor satu kerana sudah lebih 15 tahun aku berkongsi cerita suka duka dengannya.

Melalui hubungan ini juga aku dapat berkongsi cerita sebenar apa yang berlaku di peringkat pentadbiran dan politik negeri.

Tidak siapa boleh nafikan, rakanku inilah pembentuk imej pandangan umum orang nombor satu yang cukup muda sewaktu diberi kepercayaan mengemudikan negeri.

Sebagai pegawai yang menyediakan teks ucapannya, dia juga yang membangun hubungan akrab dengan pihak media sehinggakan orang nombor satu cukup dikenali kerana ramah media.

Bagaimanapun entah di mana silapnya, dalam tempoh perkhidmatan yang cukup panjang itu pelbagai tuduhan yang tidak berasas mula dilemparkan kepadanya.

Antara tuduhan yang aku dengar, sahabatku ini dikatakan menyalahgunakan kedudukannya. Bagaimanapun aku pasti, sahabatku ini bukan begitu sifatnya.

Kira-kira 10 hari kemudian sahabatku ini datang lagi ke rumah dan meminta surat yang  telah aku drafkan.

Dua hari kemudian dia menelefonku pula dan minta untuk segera berjumpa.

“Aku dah letak jawatan,” katanya pendek.

“Apa reaksi orang nombor satu?,” tanyaku pula.

“Dia ambil masa tak sampai dua minit. Waktu aku serah surat letak jawatan, dia hanya sempat bertanya sinis.”

“Apa katanya,” tanya aku kembali tidak sabar.

“Nak berhenti? O.K.lah. Dia bercakap tanpa melihat muka aku dan tangannya leka menulis,” jawabnya.

“Itu saja?”

“Itu saja.”

“Tak ada ucapan terima kasih?”

Dia menggeleng.

“Tak ada usaha cuba memujuk dan tanya kenapa mahu berhenti?”

Sahabatku terus bungkam. Di matanya tergenang air jernih.

 Page 3 of 4 « 1  2  3  4 »