Selamat Datang !
Cerita Yang Menjentik Minda dan Rasa!

Manusia suka bercerita. Manusia suka dengar, baca dan tengok cerita. Sewaktu manusia tidak tahu tulis baca, cerita disampaikan melalui apa yang ada; mulut, kuis dan tepis tangan yang kemudian dikenal cerita rakyat. Cerita yang sama diturunkan dari masa ke masa dengan tokok tambah dan warna; sehingga tidak tahu siapa pencerita asalnya. Waktu berubah, teknologi bertukar.

Hasilnya, cerita boleh dikongsi dalam bentuk apa sahaja. Cerita ada dalam tv. Cerita ada dalam CD. Manusia sanggup berasak di panggung untuk tengok cerita. Manusia sanggup bayar tinggi untuk ketawa dan takutkan dirinya. Apa kata kita kongsi cerita? Cerita apa saja.

Hantar Karya Anda? Klik Sini !

Konsep Kami

Ciptakraf Publishing & Distributor (penerbit) mengambil inisiatif untuk membangunkan jenama ini. Untuk menggerakkannya, syarikat ini akan menjadikan laman web ceritaapasaja.com sebagai katalisnya.   Maklumat Lanjut Di sini

Mengapa Anekdot?

Sebagai guru, saya memang suka bercerita. Amalan ini saya mulakan sejak mengajar di sekolah rendah (tahun 1-6), kemudiannya di sekolah menengah (Tingkatan 1 – 6) hinggalah selama hampir 18 tahun mengajar di institut perguruan yang kini bertaraf universiti.  Baca Selanjutnya..

Rakanku Yang Berhormat

Oleh: Zulkifli Abu

Tersentak juga aku pagi itu apabila membaca akhbar, rakan baikku dipilih sebagai calon dalam pilihanraya kecil kerana kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan itu.

Aku mengkategorikannya sebagai kawan baik kerana tarafnya sampai jadi best-man (pengapit) sewaktu aku berkahwin dulu.

Hanya sewaktu menulis cerita ini baru aku terfikir mengapa aku tidak jumpa beliau sebaik-baik beliau diumumkan sebagai calon untuk mengucapkan tahniah. Ramai kawan yang mengejek, “tak pandai betul ambil peluang.” Entahlah!

Yang pasti selain menjadi guru, aku berkhidmat sebagai stringer Berita Harian ketika itu. Sibuk sangat kah? Aku fikir itu bukan alasan yang tepat. Apa yang pasti, itulah sikapku. Rasa bersalah sangat apabila berkawan atau sudah kenal seseorang; kemudiannya minta sesuatu.

Hanya setelah dua hari selepas hari penamaan calon, aku diberitahu oleh rakanku yang berkhidmat dengan Utusan. “Kawankau sedang marah sangat tu. Sudahlah kau tak tolong, kau tulis pula cerita 13 Cawangan tak sokong pencalonannya.”

Sehinggalah rakanku itu terus dicalonkan dalam beberapa pilihanraya umum kemudiannya dan dilantik sebagai EXCO, aku tidak pernah berasa hati dengannya. Malah aku bersikap seperti biasa, seperti sewaktu berkawan dahulu apabila bertemu di mana-mana.

Yang aku sedar berita `13 cawangan tak setuju pemilhannya’ turut menyumbang kemenangannya. Ini kerana aku tahu orang sekeliling calon lebih suka mengambil jalan mudah `kita boleh menang punya’ tanpa ada usaha yang sungguh-sungguh. Apa salahnya aku memberikan mereka satu sentakan? Barulah bergerak jentera pilihanraya.

Hanya kira-kira setahun lalu, perhubungan kami lebih rapat. Beliau tidak lupa menjemputku ke majlis perkahwinan anak sulungnya dan baru-baru ini ke majlis cukur jambul cucunya bersempena sambutan Hari Raya.

Bagaimanapun baru-baru ini aku tersentak lagi, sama seperti kira-kira 25 tahun lalu. Melalui Berita TV, wajah rakanku keluar lagi. Kali ini kes rayuan mahkamahnya gagal. Dia terpaksa ke penjara.

Ding!

Oleh: Zulkifli Abu

Sah! Ding melakukan juga pekerjaan terkutuk itu. Baru beberapa hari lepas dia bercerita kepadaku, kiriman wang dari Bangkok belum sampai dan terpaksa meminjam wangku untuk makan.

Ding, rakan sekuliah, Wartawan Penyiaran Terbaik Thailand 1994. Beliau membuat sarjana dalam bidang penyiaran dengan belanja sendiri tanpa biasiswa.

Ding aku lihat baru saja keluar dari China Town, petempatan warga Asia khususnya China di tengah-tengah kota metropolitan Manchester. Hari masih pagi ketika itu. Aku terlihatnya sewaktu bas berhenti di perhentian ketika hendak ke universiti.

Aku lihat wajah Ding bagai tidak terurus pagi itu sedangkan wajah ayu dan penampilan dirinya yang kemas bukan sahaja memikat kami di kalangan pelajar malah Dr. Bob Houlton, pensyarah kursus Media Dalam Pendidikan sendiri.

Prejudis wanita Thai dengan aktiviti `menjual diri’ segera menyerang. Entahlah! Aku tidak pasti sama ada ia berpunca daripada perasaan cemburu atau kasihan. Apa yang aku agak pasti, Ding mungkin tidak ada pilihan lain.

Sewaktu bersamanya dalam beberapa siri kuliah, aku bagaikan tidak melihat Ding seperti Ding yang dulu. Entah beberapa kali aku teruja untuk bertanya secara terus-terang. Bagaimanapun hasrat itu sering saja terbatal.

Sehinggalah pada suatu pagi yang lain, aku masih terlihat Ding keluar dari China Town. Kali ini wajahnya kulihat terlalu letih dan bagaikan tidak bermaya. Seri wajah Ding hilang.

Hanya selepas kuliah keesokan petangnya aku berpeluang bercakap dengan Ding sambil menghirup kopi panas di kafe fakulti. Aku tidak membuang masa lalu  bertanya mengenai kehadirannya di China Town pada awal pagi.

”Zul! Kau seperti pelajar dari Malaysia yang lain cukup beruntung. Kau ada biasiswa.

”Sejak beberapa minggu ini, aku terpaksa bekerja di Restoran Makanan Thai pada setiap malam.

”Aku tidak sempat pulang dan terpaksa bermalam di sana,” katanya sambil memulangkan wang yang pernah dipinjamnya.

Aku terdiam.

Pemberita Nombor Satu

Oleh: Zulkifli Abu

Setelah lapan tahun bertugas jauh dari kampung, aku gembira sekali apabila permohonan bertugas tidak jauh dari Seremban diterima. Selain tidak perlu menyewa rumah kerana mentua hanya tinggal berdua, hasratku untuk menjadi penulis yang lebih prolifik akan lebih cepat menjadi kenyataan. Ini kerana pejabat akhbar hanya ada di Seremban.

Biasanya kalau tidak ada aktiviti petang di sekolah, kira-kira jam 3.00 petang aku sudah terjongol di pejabat New Straits Times Press (NST) yang terletak di persimpangan Jalan Dato’ Bandar Tunggal dan Jalan Sungai Ujong (berhadapan padang Majlis Perbandaran Seremban).

Waktu itu aku sudah menjadi stringer rasmi Berita Harian. Kumpulan NST hanya menempatkan seorang wartawan tetap yang menulis untuk akhbar The New Straits Times dan Malay Mail. Lain-lainnya cuma pemberita sambilan.

Begitu juga dengan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu. Hanya seorang wartawan sepenuh masa yang ditempatkan di pejabatnya di Jalan Templer (kini, Jalan Tun Dr. Ismail). Beliau wartawan yang agak berpengalaman dan disegani di kalangan kami.

Oleh kerana masih tidak ramai petugas media ketika itu, hubungan sesama kami cukup akrab. Walaupun sedar kami bersaing sesama sendiri tetapi semangat setiakawan cukup tinggi. Kami saling bersama ke sidang media atau kunjung mengunjung ke pejabat rakan.

Mengenai kunjung-mengunjung ke pejabat rakan, aku  tidak dapat melupakan kunjunganku pada bulan puasa pada tahun 1981. Aku ke sana untuk bertemu rakan yang baharu cerita mengenai langkah Jabatan Agama Islam Negeri akan mendenda umat Islam yang makan di khalayak ramai  dengan memasukkan mereka ke dalam kereta mayat dan diarak di tengah pekan Seremban.

Berita yang ditulis oleh rakanku itu disiarkan di muka depan akhbar Kumpulan Utusan.

Bagaimanapun sebaik-baik aku melangkah masuk ke pejabat rakanku itu, aku terkejut melihat beliau sedang duduk mencangkung di muka pintu pejabatnya. Di tangannya sedang menatang pinggan dan mulutnya sedang mengunyah sesuatu.

Aku terus menyergahnya. “Besok aku scoop pula. Wartawan turut diarak dalam kereta mayat!.”

Dengan selamba dia terus menyuap. “Abang tak makan depan orang ramai,” katanya.

Aku sempat terkebil-kebil sahaja.

Gadis Inggeris

Oleh: Zulkifli Abu

Gadis Inggeris memang peramah. Kalau silap haribulan, kita menyangkakan mereka syok pada kita semata-mata cara mereka melayan kita. Ini pastinya berlaku sewaktu bertemu mereka untuk bertanyakan sesuatu ketika di luar universiti atau sewaktu membeli-belah.

Di universiti kita tidak tahu yang mana satu gadis Inggeris sejati. Wajah mereka hampir serupa – tidak kira yang dari Italy, Peranchis, Belanda dan sebagainya. Bagaimanapun seramah-ramah mereka, kita boleh menjangka bahawa layanan itu diberikan hanya untuk berkomunikasi. Tidak lebih daripada itu.

Masa tu terfikir juga bagaimana ada gadis Inggeris yang terpaut dengan pelajar Malaysia sehingga sanggup meninggalkan tanah air setelah berkahwin. Biasanya mereka semacam diberi layanan istimewa pula sewaktu bermastautin di Malaysia. Selain jawatan suami agak tinggi (maklumlah lulusan luar negara), taraf `orang putih’ mereka mungkin salah satu sebab dipandang tinggi.

Bagaimanapun tanggapan yang pernah turut ada pada diriku tercalar juga apabila ke rumah seorang bekas pelajar Malaysia yang kini menetap terus di suatu petempatan elit di Manchester. Aku diajak ke sana oleh seorang kenalan.

Sebelum tamat belajar, dia telah berkahwin dengan anak seorang hartawan tempatan. Mungkin telah teresap budaya Inggeris, bekas pelajar Malaysia ini juga tinggi sifat berterus-terangnya. Setiap pertanyaanku, dijawab tanpa berselindung.    Lebih mengejutkan, beliau mengaku sebelum bertolak ke England lagi beliau telah menetapkan niat `menakluk’ gadis Inggeris seolah-olah ingin membalas kembali penaklukan British di Malaya.

Sewaktu leka melihat perabot mewah dalam banglo besar itu, terkeluar juga pertanyaan yang pernah aku simpan. Soalan cepu emas. Soalan itupun berani aku lafazkan setelah mengukur kejujurannya.

”Peliknya bila kahwin gadis Inggeris, mereka sanggup ikut suami ke Malaysia tapi you pula kekal di sini? ”

Sekali lagi sifat terus-terangnya memeranjatku.

”Yang ikut balik itu gadis yang dijumpa di bar atau night club.

”Aku pula berusaha keras memastikan dia yang syokkan aku; bukan aku syokkan dia,” katanya.

Aku bungkam.

Peminat Pertama

Oleh: Zulkifli Abu

Kegemaran membacaku agak tergganggu juga pada tahun pertamaku sewaktu mula bertugas sebagai guru terlatih di Pahang dulu. Felda Jengka 4 bukan saja tidak ada kedai buku malah kedai jual surat khabarpun tidak ada.

Waktu itu kegemaran menulis sudah bermula. Selain ingin mengetahi perkembangan semasa, aku ingin tahu juga sama ada tulisan yang aku hantar ke akhbar atau majalah tersiar atau sebaliknya.

Pekan paling dekat ketika itu ialah Maran yang terletak kira-kira 32 Kilometer dari petempatan Felda yang baru saja dibuka ketika itu. Bas ke Maran pula bermasa; kira-kira dua jam sekali.

Sewaktu di dalam kelas, aku bertanya kepada murid-muridku kalau-kalau ada abang, kakak, ayah, ibu atau sesiapa saja yang ke Maran setiap hari bagi membolehkanku  membeli akhbar mealuinya.

Seorang murid berdiri. “Cikgu! Kakak saya ke Maran setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad. Dia masuk kelas menaip,” katanya.

Melalui murid itu aku menyerahkan wang beberapa ringgit untuk harga akhbar selama lima hari dan meminta dia membawa akhbar itu pada keesokan harinya.

Mulai lusanya, aku cukup gembira kerana dapat membaca akhbar harian seperti biasa walaupun terpaksa lewat sehari.

Masa beredar, waktu berlalu. Aku terus-terusan mendapat bekalan akhbar harian dan kadang-kadang majalah yang aku gemari melalui kakak muridku.

Sesekali aku menerima usikan rakan-rakan. “Jangan kau buat hubungan dengan pembeli surat khabar kau cukup. Budak tu baru habis tingkatan lima!,” kata mereka.

Benarlah kata mereka. Sebagai petempatan yang baru dibuka, penerokanya muda-muda belaka. Habis tinggi umur anak pertama mereka  sekitar bawah 20 tahun saja.

Oleh kerana itulah, sepanjang berada di situ kami bukan saja tidak berpeluang bercampur gaul dengan gadis pada usia yang sepatutnya malah tidak pernahpun melihatnya. Kalau ada melihatnya pun mungkin kalau ada adik atau anak buah peneroka yang datang bertandang.

Berbalik kepada cerita gadis sunti pembeli surat khabarku tadi, kiriman akhbar pada keesokan  paginya cukup mendebarkanku.

Dalam lipatan akhbar itu terselit surat bertulisan rapi  dan berbau wangi pula. Helaian dua halaman itu membuatkan aku bungkam. Gadis itu mencurahkan rasa hatinya.

Walaupun baru berusia 20 tahun tidak semudah itu pula aku menerimanya. Secara terus-terang aku tidak berkenan dengan gadis itu lalu aku mendiamkannya saja.

Keesokan harinya dan beberapa hari kemudian aku masih menerima surat yang bernada serupa. Aku masih tidak membalasnya. Hanya pada minggu berikutnya, aku menerima surat terakhirnya; tanpa kata puitis dan tanpa kertas berbau wangi:

“Saya tidak hendak membeli surat khabar cikgu lagi!”

Sejak itu aku tidak dapat bekalan akhbar harianku lagi.

Maaf, Cikgu! Saya Mungkir Janji

Oleh: Zulkifli Abu

Matematik memang antara mata pelajaran kegemaranku. Oleh sebab itu tidak menghairankan sekiranya pada setiap kali ujian dan peperiksaan, markah Matematikku antara yang tertinggi di kelas sejak di sekolah rendah lagi.

Bagaimanapun penguasaan Matematikku mula terganggu apabila kami menerima guru baru sewaktu di Tingkatan Dua. Maaf, aku terlupa namanya tetapi guru itu ialah guru TUOS, guru yang menjalani latihan pada cuti sekolah dan mengajar sepenuh masa sewaktu penggal persekolahan. Biarlah aku namakan guruku itu Cikgu M sahaja.

Seperti hari-hari sebelum itu, Cikgu M memanggilku ke hadapan bagi menyelesaikan masalah Matematik yang telah dituliskannya di papan hitam.

“Cikgu tahu, Zul mesti boleh buat ni,” pujinya tanpa dapat aku pastikan kejujurannya.

Aku dipanggil kerana beberapa rakanku yang pandai Matematik juga tidak dapat menyelesaikan masalah itu sebelum itu. Setelah memerhatikan dengan teliti ayat Matematik itu beberapa minit, dengan separuh yakin aku mencatat jawapannya.

Tiba-tiba aku mendengar tepukan Cikgu M. “Kan saya dah kata Zul boleh melakukannya. Berikan tepukan gemuruh,” pinta Cikgu M yang diikuti suasana riuh.

Entahlah, aku macam tidak rasa gembira saja dengan pujian itu. Sewaktu di rumah petang itu aku cuba memerhatikan semula ayat Matematik yang kusalin daripada papan hitam.

“Ha!,” aku tersenyum puas. Aku telah menemui jawapan yang betul; bukan jawapan yang kutulis pagi tadi dan mendapat tepukan gemuruh pula.

Pagi-pagi lagi keesokan harinya aku mencari Cikgu M di Bilik Guru. “Maaf, cikgu! Sebenarnya jawapan yang saya berikan semalam, salah. Ini jawapan yang betul,” kataku sambil menunjukkan kertas catatanku.

Aku lihat Cikgu M terdiam. “Zul! Cikgu harap jangan beritahu perkara ini kepada sesiapa. Lain kali cikgu akan lebih berhati-hati. Diamkan saja perkara ini,” pintanya.

Cikgu M. Maaf, ya! Saya telah pun mungkir  janji.

Guru Nombor Satu

Oleh: Zulkifli Abu

“Hidup ni bukan susah. Berkata yang benar saja.

“Jangan sesekali berbohong. Kalau salah, mengaku. Jangan cari alasan.

“Jangan tipu orang. Orang tipu kita, itu hal dia. Dia yang tanggung dosa, bukan kita.

“Biar orang kata kita bodoh asal kita tahu apa-apa yang kita buat betul.

“Kalau tak mampu nak tolong, jangan susahkan orang.

“Percaya adanya akhirat?

“Kalau percaya, buktikannya. Terima apa-apa saja, seadanya.

“Allah tahu segala-galanya. Orang lain tak tahu, tak apa.

“Insya-Allah hidup kita akan tenang.

Itulah antara pesanan emak sejak aku mengenal makna. Kata-kata yang bermaksud serupa terus dilontarkannya lembut tanpa jemu hingga kini. Emak yang hanya sempat belajar a, b, c di Sekolah Dewasa.

Kata emak;

Penakik pisau seraut

Ambil galah batang mentibung

Setitik jadikan laut

Sekepal jadikan gunung

Alam terkembang jadikan guru.

Entah mengapa emak selalu juga menganjurkan;

Kok mandi biar di hilir-hilir,

Jadilah ayam betina,

Kadang-kadang aku terlupa juga.

 Page 4 of 4 « 1  2  3  4